TUARAN: Kemudahan dan fasiliti kesihatan di Sabah perlu terus dipertingkat bagi memastikan rakyat mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang cepat, selamat, berkualiti dan saksama, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, penambahbaikan berterusan dalam sektor kesihatan penting demi kesejahteraan rakyat, terutama mengambil kira cabaran Sabah dari segi keluasan geografi, taburan penduduk dan aksesibiliti perkhidmatan.
“Cabaran tersebut tidak seharusnya menjadi penghalang kepada usaha memastikan setiap rakyat, termasuk mereka yang berada di kawasan pedalaman dan sukar dicapai, memperoleh akses kepada perkhidmatan kesihatan yang selamat, berkualiti dan saksama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kembara TOBaTS (Tolak Ubat Tidak Sah) Zon Borneo 2026 di sini, hari ini.
Hajiji berkata, Sabah juga memerlukan lebih banyak fasiliti perubatan dan hospital pakar, selain penambahan doktor pakar bagi membolehkan rakyat menikmati perkhidmatan perubatan yang lebih baik, selesa dan berkesan.
Dalam usaha memperkukuh kemudahan kesihatan di negeri ini, beliau berkata, kerjasama strategik antara Kumpulan Yayasan Sabah dan IJN Sdn Bhd yang dimeterai pada April lalu bagi pembangunan sebuah hospital jantung bertaraf dunia di Kota Kinabalu merupakan satu langkah ke hadapan.
Beliau berharap perancangan itu dapat direalisasikan sekali gus memperluas akses rakyat Sabah kepada perkhidmatan rawatan jantung berkualiti.
Dalam pada itu, Hajiji berkata, penganjuran Kembara TOBaTS mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama Kerajaan Negeri dalam melindungi kesihatan dan kesejahteraan rakyat daripada ancaman produk kesihatan serta ubat-ubatan tidak sah.
Menurutnya, perkembangan platform digital dan media sosial menyebabkan produk kosmetik, suplemen serta ubat-ubatan tidak berdaftar semakin mudah dipasarkan terus kepada pengguna.
Keadaan itu, katanya, turut membuka ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab membuat dakwaan perubatan yang mengelirukan atau tidak berasas.
“Kesihatan dan keselamatan rakyat tidak boleh dan tidak akan sesekali dikompromi.
“Penggunaan ubat tidak sah boleh mendatangkan risiko serius kepada kesihatan kerana produk sedemikian tidak memenuhi piawaian keselamatan, kualiti dan keberkesanan, malah boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang, kegagalan fungsi hati dan membawa maut,” katanya.
Hajiji berkata, penguatkuasaan semata-mata tidak mencukupi, sebaliknya masyarakat perlu dilengkapi pengetahuan dan kesedaran supaya mampu membuat keputusan yang tepat berkaitan produk kesihatan.
Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat Sabah membudayakan amalan menyemak maklumat ubat menerusi aplikasi MyUbat yang disediakan KKM sebelum membuat pembelian, selain memastikan ubat yang digunakan berdaftar dengan KKM dan mendapatkan nasihat ahli farmasi atau doktor sebelum mencuba produk kesihatan baharu.
“Saya berharap program Kembara TOBaTS menjadi titik tolak kepada pembentukan satu budaya baharu, iaitu budaya celik ubat serta budaya menolak sebarang bentuk penipuan dan penyalahgunaan berkaitan ubat,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh kerjasama dengan KKM dan semua pihak berkepentingan bagi memastikan agenda kesihatan serta kesejahteraan rakyat Sabah dilaksanakan secara mampan dan menyeluruh.
Katanya, kerjasama erat antara KKM, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan agensi Kerajaan Negeri penting bagi memastikan mesej Kempen TOBaTS dapat disampaikan secara meluas sehingga ke peringkat akar umbi.
Sementara itu, ketika ditemui pemberita, Hajiji berkata Kerajaan Negeri menerusi jawatankuasa berkaitan akan mengambil langkah proaktif sekiranya Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencapai tahap berbahaya dan boleh memudaratkan kesihatan rakyat.

























Add Comment