TUARAN: Pembinaan pakej Lebuhraya Pan Borneo Sabah bagi laluan Serusup-Pinturu (WP09) sepanjang 20.8 kilometer berjalan lancar dan dijangka siap sepenuhnya pada Julai 2028.
Projek bernilai RM465 juta itu turut melibatkan pembinaan jambatan sepanjang 682 meter merentasi Sungai Sulaman yang dijadualkan siap pada Disember tahun depan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, dimaklumkan mengenai perkembangan terkini projek berkenaan ketika mengadakan lawatan kerja ke tapak pembinaan hari ini.
Beliau menerima taklimat mengenai kemajuan pelaksanaan projek daripada Wakil Pegawai Penguasa, Theodora Thomas George.
Hajiji turut meluangkan masa meninjau kerja pembinaan di beberapa bahagian laluan bagi melihat sendiri perkembangan projek berkenaan.
Pembinaan laluan Serusup-Pinturu merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang bertujuan meningkatkan kesalinghubungan jalan raya serta menyediakan rangkaian pengangkutan lebih baik kepada pengguna.
Turut hadir pada lawatan itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Kassim Razali; Pegawai Daerah Tuaran, Ibrahim Terki; dan kontraktor projek, Joseph Yu Sin Kong.

























Add Comment