Home » Kerajaan Sabah peruntuk RM8.24 juta untuk pemerkasaan wanita
Berita GRS Politik

Kerajaan Sabah peruntuk RM8.24 juta untuk pemerkasaan wanita

PENGIKTIRAFAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor menyampaikan Anugerah Tokoh Wanita Srikandi Khidmat Sosial kepada Datuk Hajah Zaleha Mohd Kassim sempena Sambutan Hari Wanita Peringkat Sabah di Kota Kinabalu, Jumaat.

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM8.24 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) tahun ini bagi melaksanakan pelbagai program dan inisiatif pemerkasaan wanita di seluruh negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, selain keperluan operasi, peruntukan itu merangkumi program pembangunan ekonomi, latihan dan peningkatan kemahiran usahawan, kepimpinan, pembangunan keluarga serta pembangunan dan promosi produk.

Beliau berkata, pembangunan wanita perlu bergerak seiring dengan aspirasi negeri menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030.

“Dalam fasa baharu pembangunan negeri, kita mahu wanita turut mencorakkan arah pembangunan itu sendiri melalui idea, kepakaran, pengalaman, kepimpinan dan keberanian mencetuskan perubahan,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Wanita Peringkat Sabah di sini, Jumaat.

Hajiji berkata, kekuatan ekonomi merupakan antara asas utama pemerkasaan wanita, terutama dalam menghadapi cabaran semasa termasuk peningkatan kos sara hidup.

Menurutnya, wanita yang memiliki ilmu, kemahiran, pendapatan serta akses kepada peluang mempunyai daya tahan lebih kukuh dalam menentukan masa depan diri dan keluarga.

Sehubungan itu, katanya, pendekatan Kerajaan Negeri perlu beralih daripada sekadar menyediakan bantuan kepada usaha membina keupayaan dan kemandirian wanita sehingga mereka mampu mencipta nilai, kekayaan serta peluang pekerjaan.

“Pendekatan Kerajaan Negeri mesti beranjak daripada bantuan semata-mata kepada pembinaan keupayaan, daripada pembinaan keupayaan kepada kemandirian, dan daripada kemandirian kepada penciptaan nilai, kekayaan serta peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata, komitmen itu selaras dengan Dasar Wanita Negara 2025–2030 yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan wanita menerusi penyediaan ruang dan peluang, pendedahan, kegiatan ekonomi, perlindungan sosial serta ekosistem pekerjaan yang lebih responsif.

Pada masa sama, Hajiji berkata, prinsip Sabah First yang menjadi teras dasar Kerajaan Negeri menuntut supaya peluang pembangunan diperluaskan secara adil kepada seluruh rakyat Sabah.

Katanya, wanita sama ada di bandar, luar bandar atau pedalaman perlu mempunyai akses lebih baik kepada pendidikan, kemahiran, pekerjaan, keusahawanan, teknologi, perlindungan dan kepimpinan.

“Kita mahu pembangunan yang bukan sekadar meningkatkan angka pertumbuhan, tetapi benar-benar mengangkat mutu kehidupan rakyat,” katanya.

Antara inisiatif yang diperkenalkan ialah JHEWA BizBloom, yang memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi wanita khususnya ibu tunggal dan golongan wanita B40.

Hajiji berkata, program sedemikian perlu menghasilkan impak yang boleh diukur, daripada peningkatan kemahiran kepada pertambahan pendapatan serta membantu perniagaan mikro berkembang menjadi perusahaan yang lebih kukuh dan berdaya saing.

Beliau turut mahu lebih ramai usahawan wanita Sabah memanfaatkan teknologi, platform digital, pemasaran moden, jaringan pasaran serta akses pembiayaan untuk mengembangkan perniagaan.

“Aspirasi kita jelas, iaitu produk yang dihasilkan usahawan wanita Sabah bukan sahaja kukuh di pasaran tempatan, malah mampu menembusi pasaran yang lebih luas,” katanya.

Hajiji berkata, pelbagai inisiatif Kerajaan Negeri itu bertujuan memastikan wanita mendapat peluang yang adil dalam bidang ekonomi dan pekerjaan, selain memastikan manfaat pembangunan menerusi SMJ 2.0 dapat dirasai wanita di seluruh Sabah.

Dalam aspek kepimpinan pula, beliau berkata, Sabah memerlukan lebih ramai pemimpin wanita yang bukan sahaja mampu menyesuaikan diri dengan perubahan, malah berupaya memimpin perubahan.

Justeru, katanya, usaha membina barisan pelapis pemimpin wanita yang berintegriti, berilmu, berwibawa dan berani membuat keputusan perlu terus diperkukuh.

“Saya mahu lebih ramai wanita Sabah tampil sebagai profesional berkemahiran tinggi, saintis, teknologis, inovator, usahawan digital, pemimpin korporat, pemimpin komuniti dan peneraju dalam perkhidmatan awam.

“Kita mahu bakat wanita Sabah berdiri setara dan menyerlah dalam setiap bidang strategik,” katanya.

Beliau turut menggalakkan wanita yang telah berjaya supaya membuka ruang, berkongsi pengalaman dan membimbing generasi seterusnya bagi melahirkan lebih ramai pemimpin wanita.

Hajiji mahu JHEWA terus memperkukuh kerjasama dengan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti bagi memastikan agenda pemerkasaan wanita menjangkau golongan di bandar, luar bandar dan pedalaman.

Beliau memberi jaminan Kerajaan Negeri akan terus menyediakan peluang yang adil, ruang peningkatan kemahiran serta sokongan menerusi pelbagai program supaya wanita Sabah kekal berdaya saing.

“Saya menyeru semua pihak terus berganding bahu memperkasa potensi wanita agar menjadi wanita yang berilmu, berdaya tahan dan berwibawa,” katanya.

About the author

Elle ABT

Add Comment

Click here to post a comment