Home » Hajiji mahu kerjasama Sabah–AS terus diperkukuh
Berita GRS Politik

Hajiji mahu kerjasama Sabah–AS terus diperkukuh

SAMBUTAN: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun (kiri) disambut Kuasa Usaha Kedutaan Amerika Syarikat ke Malaysia, David Gamble (tengah), dan Penolong Setiausaha Negara Amerika Syarikat bagi Hal Ehwal Pendidikan dan Kebudayaan, Catherine Dillon, pada Majlis Resepsi Freedom 250 di Hotel Sheraton, Kota Kinabalu, semalam.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, mahu kerjasama antara Sabah dan Amerika Syarikat (AS) terus diperkukuh berlandaskan rasa hormat serta kepentingan bersama, khususnya dalam bidang perdagangan, pendidikan, pemuliharaan alam sekitar, pelancongan, inovasi dan keselamatan maritim.

Beliau berkata, hubungan Sabah–AS bukan hanya terjalin pada peringkat kerajaan, malah merangkumi kerjasama antara pelajar, usahawan, penyelidik, aktivis pemuliharaan serta masyarakat kedua-dua pihak.

“Dengan membina perkongsian berasaskan kemampanan, peluang dan rasa hormat bersama, Sabah dan Amerika Syarikat boleh menyumbang kepada masa depan yang lebih makmur dan selamat.

“Marilah kita gunakan kesempatan ini untuk memperdalam kerjasama, menterjemahkan idea kepada tindakan dan mengubah peluang kepada kejayaan yang berkekalan,” katanya.

KERJASAMA: Masidi berbincang bersama David Gamble dan Catherine Dillon sebaik tiba bagi menghadiri Majlis Resepsi Freedom 250 sempena ulang tahun ke-250 kemerdekaan Amerika Syarikat.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan pada Majlis Resepsi Freedom 250 sempena ulang tahun ke-250 kemerdekaan Amerika Syarikat di Hotel Sheraton, di sini, semalam.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

Hajiji berkata, sebagai sebahagian daripada Malaysia, hubungan Sabah dengan AS berkembang dalam kerangka hubungan Malaysia–AS yang lebih luas dan membuka peluang kerjasama dalam pelbagai sektor strategik.

Menurutnya, kedudukan Sabah di tengah-tengah Asia Tenggara serta hubungannya dengan pasaran serantau dan global menjadikan negeri ini mempunyai potensi besar untuk menarik pelaburan berkualiti.

Selain kekayaan sumber semula jadi dan sektor pelancongan, Sabah turut menawarkan peluang dalam tenaga boleh diperbaharui, pertanian, pembuatan, inovasi digital dan ekonomi biru.

“Sama ada dalam pertanian bernilai tinggi, pemprosesan hiliran, ekopelancongan, tenaga bersih, logistik, perkhidmatan digital atau pembangunan sumber secara mampan, Sabah bersedia bekerjasama dengan pelabur yang benar-benar komited,” katanya.

Hajiji berkata, pembangunan tidak boleh digerakkan oleh kerajaan atau mana-mana organisasi secara bersendirian, sebaliknya memerlukan kerjasama sektor awam dan swasta, komuniti tempatan, pelabur, inovator serta pemain industri antarabangsa.

Beliau berkata, perkongsian yang kukuh mampu mewujudkan peluang pekerjaan, mempercepat pemindahan pengetahuan, memperkukuh rantaian bekalan serta memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati rakyat Sabah.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan pelabur yang berkongsi komitmen kerajaan negeri terhadap pembangunan bertanggungjawab serta bersedia membangunkan perniagaan dan bakat tempatan, menerima inovasi serta memelihara khazanah semula jadi Sabah.

“Pelaburan di Sabah bukan sekadar pelaburan dalam sebuah pasaran; ia merupakan pelaburan dalam masa depan bersama yang inklusif, mampan dan penuh potensi,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan negeri komited meningkatkan kesalinghubungan, memudah cara pelaburan serta mewujudkan persekitaran kondusif bagi membolehkan perniagaan berkembang dengan yakin.

Mengimbas sejarah hubungan Sabah–AS, Hajiji berkata hubungan rakyat kedua-dua wilayah mempunyai akar yang panjang, termasuk hubungan yang direkodkan sejak 1865.

Beliau berkata, hubungan itu berkembang dalam pelbagai bidang sepanjang dekad berikutnya — daripada penerokaan sumber dan penyelidikan alam semula jadi kepada pendidikan, kebudayaan, pemuliharaan serta pembangunan masyarakat.

Antaranya termasuk sumbangan sukarelawan Peace Corps dan tenaga pengajar Fulbright, selain program American Corner di Universiti Malaysia Sabah serta pelbagai program pertukaran yang memberi peluang kepada anak muda Sabah memperoleh pengalaman dan kemahiran baharu.

Pada masa kini, penglibatan syarikat Amerika seperti ConocoPhillips, McDermott dan Baker Hughes turut menyumbang kepada sektor tenaga, peluang pekerjaan dan beberapa program kemasyarakatan di Sabah.

Kerjasama turut merangkumi aspek keselamatan menerusi lawatan kapal dan latihan seperti Pacific Partnership, selain usaha pemuliharaan yang memberi manfaat kepada kawasan seperti Taman Tun Mustapha, Lembah Danum dan Pusat Pemuliharaan Beruang Matahari Borneo.

Hajiji berkata, hubungan yang terjalin sekian lama itu menyediakan asas kukuh untuk Sabah dan AS meneroka lebih banyak kerjasama yang memberi manfaat bersama pada masa hadapan.

About the author

Elle ABT

Add Comment

Click here to post a comment