KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah komited memperkasa golongan belia dengan memupuk kreativiti, daya tahan dan semangat keusahawanan bagi melahirkan lebih ramai usahawan, inovator serta pencipta perniagaan baharu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, berkata pada masa sama, kerajaan negeri mahu pelabur dan pemimpin perniagaan dari luar melihat Sabah bukan sekadar sebagai sebuah pasaran, tetapi sebagai platform strategik untuk mewujudkan peluang baharu merentasi Borneo, BIMP-EAGA dan ASEAN.
Katanya, Sabah beraspirasi menjadi sebuah gerbang yang mempertemukan idea dengan modal, usahawan dengan rakan kongsi, inovasi dengan peluang serta menghubungkan perniagaan tempatan dengan pasaran serantau dan global.
“Kerajaan negeri mempunyai peranan penting dalam mewujudkan ekosistem yang sesuai bagi menyokong keusahawanan, menggalakkan pelaburan, memudah cara urusan perniagaan serta membolehkan inovasi dan pertumbuhan berkembang.
“Bagaimanapun, kerajaan tidak boleh membina masa depan bersendirian. Masa depan dibina apabila kerajaan, sektor perniagaan, pelabur, usahawan, ahli akademik dan komuniti bekerjasama,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan sempena Sabah International Business Luncheon Talk 2026 (SIBLT2026) di sini, semalam, yang disampaikan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.
Hajiji berkata, platform seperti SIBLT2026 penting dalam menghimpunkan pelbagai pihak untuk membina jaringan yang seterusnya mampu diterjemahkan kepada perkongsian dan peluang perniagaan.
“Pada akhirnya, cita-cita kita bukan sekadar untuk menarik lebih banyak perniagaan ke Sabah.
“Sebaliknya, kita mahu mewujudkan dan menyokong lebih banyak perniagaan yang berpangkalan di Sabah supaya mampu berkembang menjadi pemain serantau dan global.
“Inilah Sabah berteraskan keusahawanan yang kita impikan. Saya yakin acara ini boleh menjadi titik permulaan kepada banyak perjalanan baharu, usaha niaga baharu, pelaburan baharu, kerjasama baharu dan kisah kejayaan baharu,” katanya.
Hajiji berkata, semangat keusahawanan semakin penting ketika dunia berdepan transformasi pesat yang didorong perkembangan teknologi, kecerdasan buatan (AI), perubahan iklim serta persaingan pasaran yang semakin sengit.
Menurutnya, keusahawanan memerlukan keberanian untuk memulakan sesuatu, keupayaan untuk bertahan, kreativiti untuk berinovasi serta keazaman menterjemahkan idea kepada penyelesaian yang memberi nilai.
“Teknologi sedang mengubah model perniagaan tradisional, manakala kecerdasan buatan membentuk semula cara kita bekerja.
“Perubahan iklim mempengaruhi keputusan pelaburan, pasaran baharu sedang muncul dan pasaran tradisional menjadi semakin kompetitif.
“Dalam persekitaran seperti ini, kita tidak boleh sekadar menunggu peluang datang kepada kita. Kita mesti mempunyai visi dan inisiatif untuk menciptanya. Di sinilah Sabah mempunyai potensi yang amat besar,” katanya.
Hajiji turut memberi penghargaan kepada penceramah utama SIBLT2026, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah, Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, sambil menyifatkan perjalanan keusahawanan tokoh korporat itu sebagai contoh kepada generasi usahawan.
Katanya, kejayaan sesebuah perusahaan tidak dibina dalam tempoh singkat, sebaliknya memerlukan visi, keberanian, ketekunan dan keyakinan terhadap matlamat yang mahu dicapai.
Dengan hampir 750 pemimpin perniagaan, pelabur, usahawan dan pembuat dasar berhimpun pada SIBLT2026, Hajiji berkata platform itu menyediakan himpunan idea, pengalaman dan jaringan yang berpotensi diterjemahkan kepada peluang baharu.
“Janganlah kita membiarkan hubungan ini berakhir apabila jamuan tengah hari ini selesai.
“Marilah kita menggunakan platform ini untuk membina perkongsian, meneroka pelaburan, bertukar idea dan membuka peluang antara satu sama lain,” katanya.

























Add Comment