Home » Hajiji seru rakyat terus pupuk patriotisme, perkukuh perpaduan
Berita GRS Politik

Hajiji seru rakyat terus pupuk patriotisme, perkukuh perpaduan

PATRIOTISME: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyeru rakyat Sabah khususnya generasi muda terus menyemarakkan semangat patriotisme serta mempertahankan perpaduan dan keharmonian sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah.

KOTA KINABALU: Rakyat Sabah, khususnya generasi muda, diseru terus memupuk semangat patriotisme, memperkukuh perpaduan serta memelihara keharmonian dalam kepelbagaian kaum dan agama yang menjadi antara kekuatan utama negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata perpaduan rakyat merupakan asas penting yang perlu terus dipertahankan, khususnya dalam mendepani perubahan dan cabaran era moden.

Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah tahun ini.

Menurut Hajiji, sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah yang diraikan pada 31 Ogos bukan sekadar acara memperingati detik bersejarah, sebaliknya perlu dihayati bagi menyemarakkan semangat patriotisme serta menghargai jasa dan pengorbanan pejuang terdahulu.

“Saya percaya dua sambutan penting ini mampu menjadi titik penyatuan seluruh rakyat Malaysia di Sabah yang berbilang bangsa dan agama,” katanya.

Beliau berkata, tema Hari Kebangsaan tahun ini, “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, mencerminkan komitmen untuk membina sebuah negara yang maju, inklusif dan harmoni, di samping memastikan kemakmuran negara dapat dinikmati secara adil oleh seluruh rakyat.

Pada masa sama, tema Hari Sabah, “Sabah Tanah Airku”, pula mencerminkan rasa cinta, bangga dan kesetiaan rakyat terhadap negeri ini.

“Tema ini turut membawa mesej mengenai pentingnya semangat kebersamaan dan rasa kekitaan dalam kalangan rakyat berbilang kaum bagi memelihara keharmonian yang seterusnya menyumbang kepada kemajuan serta kesejahteraan negeri,” katanya.

Hajiji turut mengajak rakyat mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah di kediaman, pejabat, kenderaan serta premis perniagaan masing-masing sebagai manifestasi semangat patriotisme dan kecintaan terhadap negara dan negeri.

Beliau pada masa sama mengingatkan rakyat supaya terus mempertahankan keharmonian dan tidak membiarkan sebarang unsur yang boleh mencetuskan perpecahan menjejaskan perpaduan yang sekian lama menjadi kekuatan Sabah.

“Marilah kita terus bersatu menolak anasir yang cuba memecah-belahkan keharmonian rakyat di negeri ini.

“Semoga sambutan ini menjadi wadah untuk kita terus memperkukuh jati diri, perpaduan dan keharmonian demi kemajuan negeri ini,” katanya.