Home » Kerajaan salur RM3,000 kepada setiap KIR mangsa kebakaran Numbak
Berita GRS Politik

Kerajaan salur RM3,000 kepada setiap KIR mangsa kebakaran Numbak

PRIHATIN: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor menyampaikan bantuan kepada mangsa kebakaran ketika melawat mereka di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Likas, Kota Kinabalu, hari ini.

KOTA KINABALU: Kerajaan menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM3,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) warganegara Malaysia yang terjejas dalam kebakaran membabitkan tiga perkampungan atas air di kawasan Kampung Numbak, Sepanggar.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, berkata bantuan itu merangkumi RM1,000 daripada Kerajaan Negeri menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, RM1,000 daripada Kerajaan Persekutuan dan RM1,000 daripada Yayasan Kebajikan Sabah (YKS).

Beliau mengumumkan bantuan berkenaan ketika melawat mangsa kebakaran yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Likas, di sini, hari ini.

“Saya ingin mengumumkan kerajaan memberi bantuan sebanyak RM3,000 kepada setiap KIR warganegara bagi meringankan beban mereka.

“Daripada jumlah itu, RM1,000 disumbangkan Kerajaan Negeri, RM1,000 Kerajaan Persekutuan dan RM1,000 lagi daripada YKS,” katanya kepada media.

Seramai 110 KIR warganegara Malaysia terjejas akibat kebakaran berkenaan, dengan 73 KIR ditempatkan di PPS Dewan Damai, manakala 37 lagi berlindung di PPS Dewan Serbaguna Likas.

Hajiji turut mengumumkan bantuan peralatan dan bahan keperluan bernilai RM20,000 kepada setiap KIR warganegara bagi membantu mereka membina semula kediaman yang musnah dalam kebakaran itu.

Menurutnya, urusan pembinaan semula kediaman akan diselaraskan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), termasuk menentukan kesesuaian sama ada rumah dibina semula di lokasi asal atau kawasan lain.

Katanya, pendekatan bantuan itu sama seperti yang dilaksanakan kerajaan bagi membantu mangsa kebakaran di kawasan lain, termasuk di Kudat baru-baru ini.

“Atas dasar kemanusiaan, kerajaan juga akan memberikan bantuan RM1,000 kepada setiap KIR bukan warganegara yang terjejas, selain bantuan makanan dan keperluan lain,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hajiji berkata rancangan Filipina menaik taraf kemudahan di Pulau Balabac bagi kegunaan ketenteraan Amerika Syarikat tidak mempunyai kaitan dengan Malaysia dan tidak seharusnya menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat Sabah.

“Jangan timbul isu itu. Amerika membuka kem tenteranya di kawasan Filipina, di Pulau Balabac. Itu kawasan negara Filipina. Ia tidak ada kaitan dengan negara Malaysia ataupun sesiapa,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak mengetahui secara terperinci tujuan pembangunan kemudahan ketenteraan berkenaan, namun menegaskan bahawa Pulau Balabac berada dalam wilayah Filipina.

Hajiji turut memberi jaminan bahawa Sabah tidak akan terjejas dengan perkembangan berkenaan.

About the author

Elle ABT

Add Comment

Click here to post a comment