Home » Wanita perlu berani memimpin, manfaatkan teknologi: Azizah
Berita GRS • Politik

Wanita perlu berani memimpin, manfaatkan teknologi: Azizah

PEMERKASAAN: Azizah bergambar bersama peserta selepas merasmikan PERANTIS 2026 — program yang memberi tumpuan kepada pembangunan kepimpinan, pengurusan kewangan, teknologi dan strategi pertumbuhan.

KOTA KINABALU:Seramai 37 wanita daripada pelbagai latar belakang perniagaan dan industri diperkasa dengan kemahiran kepimpinan, pengurusan kewangan, teknologi serta strategi pertumbuhan menerusi Program Perantisan dan Pementoran Kepimpinan Wanita Industri (PERANTIS) 2026.

Program selama tiga hari yang berlangsung di Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah itu memberi penekanan kepada usaha melahirkan lebih ramai wanita yang berkeyakinan, berdaya saing dan berupaya memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan ekonomi.

Pengerusi IDS Sabah, Datuk Seri Panglima Hajah Azizah Mohd Dun, berkata latihan dan pementoran penting bagi memastikan wanita bukan sahaja memiliki pengetahuan dan kemahiran, malah mempunyai keyakinan untuk membuat keputusan serta menerajui organisasi atau perusahaan masing-masing.

“Wanita perlu berani melangkah ke hadapan, yakin membuat keputusan serta bersedia memanfaatkan teknologi dan peluang baharu.

“Ilmu yang diperoleh perlu diterjemahkan kepada tindakan supaya mampu memberikan impak kepada diri, organisasi dan ekonomi,” katanya ketika merasmikan PERANTIS 2026 pada 30 September lalu.

PERANTIS 2026 merupakan inisiatif Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) Sabah, dianjurkan oleh Primal Impact Sdn Bhd dengan IDS Sabah sebagai rakan strategik.

Sepanjang program, peserta didedahkan kepada pelbagai aspek pembangunan kepimpinan termasuk kepimpinan kendiri, nilai Malaysia MADANI, komunikasi dan pengurusan emosi.

Peserta turut mengikuti latihan berkaitan pengurusan kewangan, rundingan industri, tadbir urus serta penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam perniagaan.

Selain itu, mereka dibimbing dalam aspek strategi pertumbuhan dan inovasi, serta menyediakan Pelan Tindakan Kepimpinan Individu untuk dibentangkan kepada mentor.

Setiap peserta turut menetapkan sasaran kepimpinan dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) individu bagi tempoh tiga bulan, yang akan disusuli dengan sesi pementoran selepas program bagi memantau perkembangan dan pencapaian masing-masing.

Sementara itu, wakil JPW, Liu Kim Pau @ Jesicca, ketika berucap pada majlis penutupan merakamkan penghargaan kepada Primal Impact Sdn Bhd, IDS Sabah serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan.

Beliau berharap PERANTIS dapat terus menjadi platform dalam usaha melahirkan lebih ramai pemimpin wanita berwibawa, khususnya di Sabah, selain membantu wanita memanfaatkan teknologi, memperkukuh keupayaan ekonomi serta meningkatkan pendapatan.

Program berkenaan diakhiri dengan penyampaian sijil kepada kesemua 37 peserta sebagai pengiktirafan terhadap komitmen mereka sepanjang mengikuti program.