TAWAU: Penyebaran kandungan agama yang mengelirukan di media sosial perlu ditangani dengan memperbanyakkan program keagamaan yang dikendalikan penceramah berautoriti dan berlandaskan sumber yang sahih.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata masyarakat khususnya golongan belia dan wanita perlu diberikan lebih banyak ruang untuk mendapatkan ilmu serta kefahaman agama daripada sumber yang diyakini.
Beliau berkata, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam boleh memainkan peranan penting dengan memperbanyakkan program keagamaan yang mendapat pandangan dan pengiktirafan pihak berautoriti agama.
“Kita berharap NGO Islam seperti Lembaga Kebajikan Perempuan Islam, NGO Selawat dan mana-mana pihak dapat memperbanyakkan program yang mempunyai autoriti atau diterima secara sah oleh pihak berkuasa agama.
“Kita khuatir sekiranya ada pihak yang berselindung di sebalik agama untuk menyampaikan ajaran yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.
Beliau, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, berkata demikian ketika ditemui pada program ceramah Menata Hati di Dewan Masyarakat Tawau, Ahad.
Menurut Nizam, perkembangan media sosial menyaksikan semakin ramai individu menghasilkan kandungan berkaitan agama, justeru masyarakat perlu lebih berhati-hati dan bijak menilai kesahihan maklumat yang diterima.
Beliau berkata, tidak semua kandungan agama yang dikongsikan menerusi media sosial disampaikan oleh individu yang mempunyai pengetahuan atau autoriti sewajarnya.
“Apa juga program yang ingin kita anjurkan, kita harus mendapatkan pandangan dan nasihat daripada pihak yang berautoriti dalam agama Islam di negara kita, khususnya di Sabah.
“Ini penting supaya kandungan yang disampaikan tidak bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.
Program Menata Hati dianjurkan Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Sabah Cawangan Tawau dengan kerjasama NGO Selawat Tawau, menampilkan pendakwah dari Indonesia, Ustaz Hilman Fauzi.
Nizam berkata, sambutan terhadap program berkenaan menunjukkan masyarakat Tawau mempunyai minat tinggi terhadap program keagamaan yang memberi pengisian berkaitan pengurusan hati, keimanan, reda serta penerimaan terhadap ketentuan Allah SWT.
Menurutnya, Dewan Masyarakat Tawau yang berkapasiti kira-kira 3,000 orang dipenuhi peserta, sehingga sebahagian daripada mereka terpaksa duduk di lantai.
“Ini menunjukkan masyarakat kita memerlukan program sebegini, dan kita berharap lebih banyak program agama yang sahih serta mendapat pandangan pihak berautoriti dapat dianjurkan pada masa akan datang,” katanya.

























Add Comment