KOTA KINABALU:Peruntukan RM18.7 bilion kepada Sabah menerusi Belanjawan 2027 perlu diagihkan secara bersasar dengan memberikan keutamaan kepada daerah miskin yang masih berdepan kekurangan kemudahan asas — khususnya bekalan air, elektrik dan jaringan jalan raya.
Pengerusi Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS Sabah), Datuk Seri Panglima Hajah Azizah Mohd Dun, berkata peningkatan peruntukan sebanyak RM1.1 bilion berbanding RM17.6 bilion pada 2026 merupakan perkembangan positif, namun keberkesanannya perlu diukur berdasarkan manfaat sebenar yang diterima rakyat, terutama masyarakat luar bandar.
Menurutnya, pengagihan peruntukan pembangunan perlu mengambil kira tahap kemiskinan, keperluan infrastruktur serta cabaran ekonomi yang berbeza antara daerah.
“Kalau kita mahu menyelesaikan masalah kemiskinan, peruntukan mesti sampai ke tempat yang benar-benar memerlukan. Keperluan setiap daerah tidak sama dan penyelesaiannya juga perlu bersesuaian dengan keadaan setempat,” katanya.
Azizah berkata lapan daripada 10 daerah yang pernah dikenal pasti mempunyai kadar kemiskinan tegar tertinggi di Malaysia terletak di Sabah — iaitu Tongod, Beluran, Pitas, Kinabatangan, Kota Marudu, Tuaran, Ranau dan Lahad Datu.
Beliau berkata keadaan itu menunjukkan kepentingan pendekatan pembangunan yang lebih tertumpu kepada keperluan setempat, khususnya bagi kawasan luar bandar yang masih berdepan jurang kemudahan asas dan peluang ekonomi.
Menurutnya, masalah bekalan air, elektrik dan jalan raya perlu ditangani secara menyeluruh kerana kekurangan infrastruktur berkenaan bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan penduduk, malah membataskan kegiatan ekonomi masyarakat.
Keadaan itu turut menyukarkan petani, pekebun kecil dan nelayan untuk meningkatkan pengeluaran serta memasarkan hasil mereka dengan lebih berkesan.
“Ketiga-tiga perkara ini mesti diselesaikan sebaik mungkin. Jika projek lambat dilaksanakan kerana birokrasi yang panjang, kos pembangunan boleh meningkat dan rakyat terus menanggung kesannya,” katanya.
Sehubungan itu, Azizah berkata IDS Sabah mencadangkan antara 10 hingga 15 peratus daripada Pemberian Khas interim RM1.5 bilion berkaitan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diperuntukkan bagi mewujudkan Dana Pembangunan Komuniti Khas untuk daerah miskin.
Cadangan itu bertujuan memastikan sebahagian peruntukan berkenaan dapat disalurkan secara khusus bagi menangani keperluan pembangunan komuniti yang paling mendesak.
Beliau berkata pengagihan dana perlu berpandukan data dan hasil kajian lapangan, supaya bentuk bantuan serta intervensi yang dilaksanakan benar-benar bersesuaian dengan punca kemiskinan di setiap daerah.
Menurutnya, faktor yang menyumbang kepada kemiskinan berbeza mengikut lokasi — termasuk kekurangan infrastruktur asas, kesukaran akses ke pasaran serta kebergantungan nelayan dan pekebun kecil kepada orang tengah.
Dalam perkembangan berkaitan, Azizah berkata IDS Sabah sedang melaksanakan kajian pemetaan kemiskinan di Pitas dan Kota Marudu bagi mengenal pasti taburan serta profil isi rumah miskin, selain meneliti kekangan ekonomi yang dihadapi penduduk.
Kajian yang disasarkan siap pada 2027 itu dijangka menyediakan maklumat lebih terperinci bagi membantu perancangan program pembasmian kemiskinan yang lebih tepat dan berkesan.

























Add Comment