KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mahu memastikan pembangunan industri minyak dan gas negeri tidak hanya tertumpu kepada aktiviti penerokaan serta pengeluaran sumber, sebaliknya turut menjana nilai ekonomi lebih tinggi dan manfaat jangka panjang kepada rakyat.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata keutamaan kerajaan bukan semata-mata terhadap jumlah sumber minyak dan gas yang dimiliki Sabah, tetapi sejauh mana kekayaan itu dapat dimanfaatkan untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri.
Menurutnya, industri berkenaan merangkumi keseluruhan rantaian nilai — termasuk pembangunan infrastruktur, perkhidmatan sokongan, aktiviti pertengahan dan hiliran, pembangunan vendor, teknologi, tenaga kerja berkemahiran serta pelaburan.
“Sudah tentu, kita mahu supaya perkembangan industri ini dapat mewujudkan limpahan ekonomi yang lebih luas kepada Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Pemeteraian Perjanjian Pajakan Tanah bagi Projek Sabah Oil & Gas Terminal (SOGT) dan Sabah-Sarawak Gas Pipeline (SSGP) antara Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) dengan PETRONAS di Hyatt Regency Kinabalu, di sini, Rabu. Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick.
Hajiji berkata, perkembangan aktiviti penerokaan serta penemuan sumber baharu sejak beberapa tahun kebelakangan ini memperlihatkan prospek pertumbuhan lebih luas bagi industri minyak dan gas Sabah.
Sehubungan itu, beliau berkata kemudahan SOGT dan SSGP perlu dilihat bukan sekadar sebagai infrastruktur operasi industri, tetapi juga sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi dan pelaburan di kawasan sekitarnya.
Menurutnya, koridor Kimanis hingga Sipitang khususnya mempunyai potensi untuk terus berkembang sebagai kawasan pertumbuhan industri yang penting kepada Sabah.
Beliau berkata, pembangunan infrastruktur berkenaan perlu dimanfaatkan bagi memenuhi keperluan semasa, selain membuka peluang pelaburan, pembangunan industri dan peningkatan sosioekonomi pada masa hadapan.
Dalam pada itu, Hajiji merakamkan penghargaan terhadap sumbangan, pelaburan dan kepakaran PETRONAS yang sekian lama memainkan peranan penting dalam pembangunan industri minyak dan gas di Sabah.
Bagaimanapun, beliau mahu kerjasama itu terus diperluas bagi memastikan lebih banyak peluang penyertaan diberikan kepada syarikat, vendor dan tenaga kerja tempatan.
Menurutnya, syarikat Sabah perlu dibantu meningkatkan keupayaan teknikal, pengurusan, teknologi dan modal supaya mampu menyertai aktiviti industri yang lebih kompleks serta bernilai tinggi.
Beliau berkata, PETRONAS mempunyai peranan penting untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh keupayaan vendor tempatan dan memperluas penyertaan mereka dalam keseluruhan rantaian industri minyak dan gas.
Pada masa sama, Hajiji menegaskan pembangunan industri perlu bergerak seiring usaha memperkasa modal insan — khususnya dengan menyediakan lebih banyak peluang latihan, pengalaman dan pembangunan kerjaya kepada anak Sabah dalam bidang teknikal serta profesional.
Menyentuh peranan SEDCO, beliau berkata agensi itu perlu terus berkembang daripada sekadar pemilik dan pengurus aset kepada pemudah cara pelaburan serta rakan strategik industri.
Menurutnya, SEDCO perlu lebih proaktif mengenal pasti peluang pembangunan aset, tanah, infrastruktur dan kerjasama komersial yang mampu memberikan pulangan munasabah serta manfaat ekonomi kepada negeri.
Beliau berkata, pemeteraian perjanjian pajakan tanah antara SEDCO dengan PETRONAS mencerminkan pendekatan pengurusan aset negeri yang lebih tersusun, di samping memberikan kepastian kepada pihak industri dan memelihara kepentingan komersial Sabah.
Hajiji turut berharap kerjasama SEDCO–PETRONAS dapat diperkukuh melangkaui hubungan berasaskan transaksi kepada perkongsian strategik jangka panjang yang memberikan manfaat bersama.
Menurutnya, pendekatan itu penting bagi memastikan sumber asli dan aset negeri diurus serta dibangunkan secara optimum untuk menjana pertumbuhan ekonomi yang mampan dan manfaat berpanjangan kepada rakyat Sabah.

























Add Comment