KOTA KINABALU: Perjanjian pajakan tanah bernilai RM200 juta bagi tempoh 30 tahun antara Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) dengan PETRONAS dijangka memperkukuh pembangunan industri minyak dan gas serta menjana manfaat ekonomi jangka panjang kepada Sabah.
Pengerusi Kumpulan SEDCO, Datuk Masiung Banah, berkata kerjasama strategik itu bukan sekadar urusan komersial, sebaliknya mencerminkan komitmen kedua-dua pihak untuk memperkukuh infrastruktur industri minyak dan gas serta merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri.
Menurutnya, perjanjian berkenaan dijangka menjana RM100 juta dalam tempoh dua tahun sehingga pertengahan 2028, selain menyasarkan pulangan sebanyak RM20 juta menerusi dividen dan bayaran balik pinjaman kepada Kerajaan Negeri yang dijadualkan bermula tahun ini.
“Pemeteraian perjanjian pajakan tanah ini merupakan pencapaian komersial dua hala antara PETRONAS dan SEDCO bagi menyokong pembangunan infrastruktur industri minyak dan gas di tanah besar Borneo, merangkumi Sabah dan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas majlis pemeteraian perjanjian pajakan tanah antara SEDCO dengan PETRONAS, di sini, Rabu.
Perjanjian itu melibatkan pajakan tanah seluas 32.2 hektar bagi operasi Sabah Oil & Gas Terminal (SOGT) di Kimanis, serta 260 hektar tanah di sepanjang koridor jajaran Sabah-Sarawak Gas Pipeline (SSGP) dari Kimanis ke Sipitang.
Masiung berkata, kerjasama berkenaan turut menyokong pembangunan ekosistem industri minyak dan gas di Sabah dan Sarawak, khususnya menerusi penyediaan infrastruktur strategik yang diperlukan bagi operasi sektor berkenaan.
Menurutnya, hubungan kerjasama antara SEDCO dengan PETRONAS yang terjalin sejak 1997 telah menyumbang kepada pembangunan pelbagai projek infrastruktur dan utiliti di Sabah.
Beliau berkata, pemeteraian perjanjian terbaharu itu menjadi kesinambungan kepada hubungan strategik berkenaan, selain memperlihatkan usaha berterusan untuk memanfaatkan aset negeri bagi menjana pulangan ekonomi yang mampan.
Majlis itu turut dihadiri Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah, Datuk Mohd Sofian Alfian, dan Naib Presiden Kanan PETRONAS, Datuk Ir. Bacho Pilong.
Perjanjian berkenaan ditandatangani Pengurus Besar Kanan Integrated Hydrocarbon Malaysia Management, Ziaril Faiz Zakaria, bagi pihak PETRONAS, manakala SEDCO diwakili Pengurus Besarnya, Datuk Ar. James Wong.

























Add Comment