KOTA KINABALU:Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, bersetuju menaja lima dewan tayangan khas filem Mr. Finance: Cinta Gadis Autisme di 10Star Cinemas Kubota, Tawau, pada 14 November depan sebagai tanda sokongan terhadap industri perfileman tempatan.
Filem terbitan Nautica Production Sdn Bhd itu merupakan hasil karya penggiat seni Sabah yang mula menemui penonton di pawagam pada 8 Oktober lalu.
Pengarah merangkap penulis skrip filem berkenaan, Jade Morris, berkata sokongan Nizam memberi suntikan semangat kepada pihak produksi yang berdepan cabaran menarik kehadiran penonton sejak filem itu mula ditayangkan.
Menurutnya, masih terdapat pengguna media sosial yang menyangka filem berkenaan merupakan produksi dari Indonesia, sedangkan ia sebenarnya dihasilkan sepenuhnya menerusi usaha penggiat filem tempatan Sabah.
“Mungkin ada yang melihat poster atau treler kami dan menyangka ini filem luar negara. Tetapi sebenarnya ini filem anak Sabah, hasil usaha kami sendiri.
“Saya berharap orang ramai dapat mengenali filem ini dan memberi peluang untuk menontonnya sebelum membuat penilaian,” katanya dalam satu kenyataan.
Persetujuan tajaan berkenaan dicapai selepas Jade bersama penerbit filem, Gregory Giting, dan pembantu penerbit, Fuad Larkins, mengadakan pertemuan dengan Nizam di pejabatnya di Wisma MUIS, di sini.
Jade berkata, tajaan lima dewan tayangan khas itu amat bermakna kepada pihak produksi memandangkan filem berkenaan diterbitkan menggunakan pembiayaan sendiri tanpa bantuan geran pembikinan.
Menurutnya, inisiatif itu diharap dapat menarik lebih ramai penonton, sekali gus membantu memperkenalkan karya penggiat filem Sabah kepada masyarakat yang lebih luas.
Selain mengetengahkan kisah percintaan, Mr. Finance: Cinta Gadis Autisme turut membawa mesej kesedaran mengenai autisme menerusi watak Dani — seorang gadis autistik yang mempunyai perasaan, harapan dan keinginan untuk dicintai seperti individu lain.
Menurut Jade, penceritaan itu bertujuan mengajak masyarakat memahami kehidupan dan emosi individu autistik, selain memupuk sikap lebih terbuka serta penerimaan tanpa prejudis.
Beliau berharap mesej yang dibawa menerusi filem berkenaan dapat membantu meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap autisme, khususnya mengenai kepentingan menghormati perasaan dan keperluan setiap individu.
Dalam pada itu, Jade turut mengajak masyarakat di Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia supaya memberi peluang kepada filem tempatan itu selagi masih ditayangkan di pawagam.
“Sokongan terhadap karya tempatan penting bagi membantu penggiat industri kreatif Sabah terus berkarya, selain membuka ruang kepada lebih banyak penerbitan filem anak negeri pada masa depan,” katanya.

























Add Comment