KOTA MARUDU:Tamu Kampung Marak Parak, yang menjadi pusat kegiatan ekonomi masyarakat setempat sejak lebih empat dekad lalu, berpotensi diperkasakan sebagai tarikan pelancongan desa — sekali gus membuka lebih banyak peluang menjana pendapatan kepada penduduk.
Ketua Penyelaras Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Tandek, Dato’ Dr. Janathan Kandok, berkata keunikan tamu tradisional itu — ditambah dengan kedudukannya yang berhampiran Air Terjun Serinsim — merupakan kelebihan yang wajar dimanfaatkan bagi merancakkan kegiatan ekonomi masyarakat setempat.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Tamu Kampung Marak Parak, kira-kira 30 kilometer dari pekan Kota Marudu, menerusi siri Program Ziarah Rakyat.
Menurutnya, tamu yang beroperasi sejak 1980-an itu bukan sahaja menjadi tempat penduduk memasarkan hasil pertanian dan kraftangan, malah berperanan sebagai pusat pertemuan serta kegiatan ekonomi komuniti luar bandar.
Tamu Marak Parak mempunyai waktu operasi yang berbeza berbanding kebanyakan tamu lain di kawasan Tandek — aktiviti jual beli bermula seawal 5.30 pagi, dan kebanyakan peniaga mula beransur pulang sekitar 8 pagi.
Bagi memastikan beliau berpeluang bertemu lebih ramai peniaga dan pengunjung, Janathan bersama rombongannya bertolak ke Marak Parak seawal 4.30 pagi.
Sepanjang lawatan itu, beliau turut beramah mesra dengan peniaga serta penduduk kampung bagi mendengar pandangan dan memahami keperluan masyarakat setempat.
Janathan, yang juga Timbalan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Kota Marudu, berkata keunikan tamu tradisional berkenaan berpotensi menarik lebih ramai pengunjung — khususnya jika dipromosikan bersama destinasi pelancongan berhampiran.
“Kita amat menggalakkan lebih ramai pelancong dan pengunjung luar datang ke Marak Parak untuk merasai sendiri keunikan tamu tradisional ini, selain menikmati keindahan Air Terjun Serinsim.
“Sokongan orang ramai melalui pembelian hasil pertanian tempatan dan penyertaan dalam aktiviti pelancongan komuniti diyakini mampu meningkatkan pendapatan serta taraf hidup penduduk,” katanya.
Beliau turut meninjau potensi pembangunan kawasan sekitar Marak Parak, termasuk peluang memperkukuh kegiatan ekonomi berasaskan pertanian, perdagangan kecil-kecilan dan pelancongan desa.
Dalam pada itu, Janathan berkata Program Ziarah Rakyat akan terus diperluaskan ke kawasan pedalaman Tandek, bagi memastikan pandangan, keperluan dan aspirasi masyarakat akar umbi sentiasa mendapat perhatian.
Menurutnya, pendekatan turun padang membolehkan pihaknya memahami keadaan sebenar penduduk, sekali gus mengenal pasti isu dan keperluan pembangunan yang boleh diberikan perhatian.
Turut mengiringi beliau Ketua Penerangan Gagasan Rakyat Kota Marudu, Jeson Majimal; Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan Kota Marudu, Datuk George Sangkin; serta Ahli Jawatankuasa Penyelaras Gagasan Rakyat Tandek, Johari Pengaju dan Mohd. Fakhrurrazi Abd Wahab.

























Add Comment