TUARAN:Kerajaan Negeri terus komited memperkasakan golongan wanita dan suri rumah dalam bidang ekonomi, sosial serta kepimpinan, bagi memastikan mereka terus memainkan peranan penting dalam pembangunan dan kesejahteraan Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata sumbangan golongan wanita amat dihargai — khususnya dalam memperkukuh institusi keluarga, pembangunan masyarakat dan kemajuan negeri.
Menurutnya, komitmen itu turut diterjemahkan menerusi pelbagai inisiatif dan peruntukan khusus, termasuk bantuan kepada golongan wanita di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman yang diwakilinya.
“Setiap tahun saya menyediakan peruntukan sebanyak RM500,000 untuk program wanita di Sulaman, termasuk bantuan peralatan dapur kepada suri rumah.
“Begitu juga kepada pemuda dan beliawanis di kawasan ini, masing-masing menerima peruntukan RM500,000 setahun bagi menyokong pelaksanaan pelbagai program dan aktiviti mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Peralatan Dapur kepada Suri Rumah DUN Sulaman di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Samah, Kampung Lok Batik, di sini, Ahad.
Pada majlis itu, seramai 1,000 suri rumah menerima bantuan peralatan dapur sebagai sebahagian daripada usaha meringankan beban isi rumah.
Hajiji, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, berkata beliau sentiasa menghargai sokongan dan kepercayaan pengundi wanita — antara faktor penting yang membolehkannya terus mewakili kawasan itu selama sembilan penggal sejak 1990.
“Saya tidak pernah melupakan peranan wanita kerana mereka mewakili hampir separuh daripada jumlah pengundi di Sulaman,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji berkata usaha memperkasakan wanita turut dilaksanakan di seluruh negeri menerusi pelbagai program kebajikan dan bantuan bersasar di bawah pentadbiran Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Antaranya Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR), yang diperkenalkan bagi membantu golongan B40 dan keluarga berpendapatan rendah — termasuk wanita serta suri rumah yang memenuhi syarat kelayakan.
“Di Tuaran sahaja, terdapat kira-kira 10,000 penerima bantuan SYUKUR dan lebih 3,000 daripadanya berasal dari Sulaman.
“Pada tahun lalu, penerima yang layak menerima bantuan sebanyak RM300 sebulan, termasuk golongan wanita yang memenuhi kriteria ditetapkan.
“Inilah tanggungjawab Kerajaan Negeri untuk sentiasa memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” katanya.
Hajiji berkata kesejahteraan rakyat merupakan antara komponen terpenting dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), yang menjadi asas kepada pelaksanaan pelbagai dasar dan inisiatif pembangunan negeri.
Sehubungan itu, Kerajaan Negeri turut menyalurkan bantuan sebanyak RM200 sebulan kepada 140,000 penerima daripada golongan kurang berkemampuan pada tahun ini.
Menurutnya, peluasan bantuan berkenaan mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan golongan yang memerlukan terus mendapat perhatian dan pembelaan.
“Banyak inisiatif kebajikan yang kita laksanakan. Dahulu, hanya sekitar 20,000 lebih penerima mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan.
“Namun, dalam tempoh lima tahun pentadbiran ini, jumlah penerima meningkat kepada hampir 70,000 orang setiap bulan.
“Itulah dasar dan hala tuju pentadbiran saya, iaitu memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.
Sementara itu, Hajiji mengingatkan kepimpinan GRS supaya terus memperkukuh perpaduan dan komitmen terhadap perjuangan parti, bagi memastikan kesinambungan agenda pembangunan negeri.
“Sebagai tunjang kepada kerajaan, GRS mesti terus diperkukuh dan memainkan peranan utama dalam menerajui pentadbiran Sabah — bukan sahaja sekarang, tetapi juga pada pilihan raya Dewan Undangan Negeri akan datang,” katanya.

























Add Comment