TAWAU: Ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – Tawau, Lo Su Fui memohon supaya kerajaan dapat mengembalikan hak Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Katanya, sudah lebih 60 tahun hasil sumber alam daripada Sabah dan Sarawak diambil untuk digunakan pembinaan kemudahan di semenanjung.
“Kita lihat di semenanjung banyak dibina menara pencakar langit, jalan raya berkualiti tinggi dan kemudahan lain untuk keselesaan rakyat di sana.
“Namun, kemudahan yang ada di Sabah sangat jauh ketinggalan berbanding negeri lain di semenanjung dan banyak perlu di naik taraf,” katanya dalam kenyataan media, pada hari Isnin di sini .
Menurutnya, tuntutan MA63 itu bukan mengenai hak wilayah Sabah dan Sarawak, tetapi ia adalah berkaitan isu negara.
“Kita mahukan Sabah dan Sarawak juga dapat menikmati kemudahan serta pembangunan yang setara dengan negeri-negeri yang ada di semenanjung.
“Justeru, sebagai pemimpin di daerah ini sudah tentu mahukan MA63 dapat ditunaikan dengan segera supaya banyak pembangunan dan kemudahan dapat dilaksanakan,” katanya.
Lo berkata, rakyat Sabah dan Sarawak juga mahukan kekayaan hasil sumber alam dapat dinikmati serta dirasai bersama.
“Saya berharap dengan tertunainya tuntutan MA63, rakyat Sabah dan Sarawak juga akan menikmati kemudahan infrastruktur yang baik,” katanya.
Add Comment