PAITAN: Usaha ke arah kesaksamaan gender boleh dicapai melalui langkah awal pemahaman atau kesedaran tentang gender dan perspektif gender oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib berkata kesaksamaan gender adalah tanggungjawab semua pihak, bermula daripada unit kecil dalam keluarga sehingga unit besar dalam pentadbiran kerajaan.
“Kerajaan sememangnya memberi perhatian kepada isu gender di negara ini seperti mewujudkan pelbagai usaha, untuk mengarusperdanakan kesaksamaan gender agar kemajuan wanita dapat dipertingkatkan, seiring dengan kemajuan dalam kalangan lelaki.
“Usaha seperti ini akan memberi ruang dan peluang sama rata kepada wanita untuk maju dan terlibat dalam pembangunan sama seperti lelaki.
“Sehubungan itu, penghargaan perlu diberikan kepada Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (Jhewa) kerana terus berusaha keras mempromosikan program gender demi memberi kesedaran, kepekaan dan kefahaman tentang isu gender dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Pengarusperdanaan Gender dalam Pembangunan Luar Bandar, Daerah Paitan yang diadakan di Dewan Terbuka, Pejabat Daerah Paitan pada Isnin.
James yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sugut berkata, seramai 300 peserta menghadiri program itu melibatkan Pengerusi JPKK, Ketua Kampung dan Ketua Masyarakat Cina di Daerah Paitan.
Beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada Pengarah Jhewa Sabah, Hajah Haslina Ismail kerana memilih daerah Paitan sebagai salah satu daerah untuk menganjurkan program gender pada 2023.
Menurut James, dalam Rancangan Malaysia Ke-12, Sabah masih mengutamakan pembangunan pakar gender iaitu program latihan jurulatih (TTT) selain melaksanakan program sensitiviti gender seperti yang diadakan pada Isnin.
“Program seperti ini wajar dijadikan program tahunan untuk memberi pendedahan tentang keperluan gender dalam pembangunan. Ini kerana golongan inilah yang akan bertanggungjawab membantu pemimpin tertinggi dalam hal pembangunan luar bandar, khususnya membabitkan hal ehwal masyarakat kampung dari segi pembangunan infrastruktur, aktiviti sosial dan sebagainya.
“Justeru, pendedahan awal konsep gender ini, saya percaya akan memberi pengalaman baharu kepada semua pemimpin di sini,” katanya.
Tambahnya lagi, pemimpin diharapkan mengambil konsep gender ini dengan fikiran terbuka dan tidak keterlaluan dalam usaha kerajaan memastikan perpaduan dan persefahaman rakyat terus terpelihara.
“Saya juga berharap mereka yang mengikuti program ini lebih peka terhadap keperluan dan kepentingan pembangunan infrastruktur berasaskan gender agar keharmonian dan perpaduan masyarakat berbilang kaum sentiasa terpelihara,” katanya.
Selain program ini, James berkata terdapat kursus kemahiran untuk ibu tunggal dan wanita B40 iaitu kursus bakeri yang telah berlangsung selama tiga hari sejak Sabtu lalu.
“Seramai 25 peserta kursus menyertai program ini. Tahniah dan syabas kepada penganjur atas inisiatif mereka dalam pembangunan wanita di Paitan.
“Kursus ini amat memberi manfaat kepada wanita daerah ini kerana dapat memberi peluang kepada mereka menceburi bidang bakeri. Golongan wanita boleh memulakan perniagaan dari rumah dengan menerima tempahan daripada keluarga, rakan atau penduduk setempat atau berhampiran.
“Semoga peserta kursus dapat memulakan perniagaan sendiri dan menjana pendapatan tetap seterusnya mungkin membuka premis perniagaan sendiri,” katanya.
— Clarence Dol
Add Comment