KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak akan hilang arah dengan dakwaan yang melibatkan kesalahan wakil rakyat gabungan berkenaan baru-baru ini.
Ketua Penerangan GRS Datuk Joniston Bangkuai berkata, jika dakwaan terbabit bertujuan merosakkan imej GRS, ia tidak akan melemahkan komitmen gabungan itu untuk terus berkhidmat kepada rakyat.
Beliau berkata, perlu diingatkan Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS Datuk Seri Panglima Hajiji Noor mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat perkara itu dengan teliti.
“Ketua Menteri juga memberi jaminan kerajaan yang diterajui GRS akan memberikan kerjasama penuh kerana tiada apa yang hendak disembunyikan.
“Jika dakwaan ini bertujuan untuk mengalih perhatian kami (kerajaan yang diterajui GRS), mengapa perlu membiarkannya menjejaskan kami,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Joniston berkata, ketelusan dan akauntabiliti adalah nilai teras GRS yang akan terus mempertahankan prinsip-prinsip berkenaan.
Menurutnya, Pilihan Raya Negeri (PRN) semakin hampir tahun depan dan dakwaan seperti itu akan menimbulkan persoalan sama ada ia berniat untuk merosakkan pencapaian GRS.
“Walaupun ada desas-desus, namun GRS tetap fokus kepada apa yang benar-benar penting iaitu memajukan Sabah dan meningkatkan kehidupan rakyat negeri ini,” katanya.
— Siti Aisyah Narudin
Add Comment