KENINGAU: Pusat Daerah Mengundi (PDM) Liau bersama empat sayap Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) ,Wiramuda, Wiranita, Wiramaja dan Wiramas , sebulat suara menyatakan komitmen untuk terus kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Keputusan itu dicapai dalam satu mesyuarat khas yang dipengerusikan Ketua PDM Liau, Harry Gitik, bersama kepimpinan keempat-empat sayap parti. Langkah itu sekali gus mengukuhkan lagi sokongan akar umbi terhadap GRS di bawah pimpinan Pengerusinya, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.
Harry berkata, keputusan itu turut menyatakan sokongan penuh kepada pendirian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Robert Tawik, serta ADUN lain yang memilih untuk kekal bersama GRS.
“Ini selari dengan pendirian PDM Keningau Station yang lebih awal menegaskan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Hajiji. Kami yakin hanya melalui kestabilan politik dan hala tuju yang jelas, pembangunan negeri dapat diteruskan dengan lancar,” katanya.
Beliau berkata, di bawah pimpinan Hajiji, kerajaan GRS telah membuktikan kemampuan mentadbir dengan berkesan menerusi pelaksanaan dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), yang memberi impak langsung kepada rakyat, termasuk masyarakat di Bingkor.
“Pelbagai pembangunan infrastruktur, bantuan ekonomi dan program komuniti telah dilaksanakan — membuktikan kerajaan GRS peka terhadap keperluan rakyat luar bandar,” katanya.
Harry menegaskan, dasar SMJ perlu diteruskan bagi memastikan kesinambungan pembangunan serta kesejahteraan rakyat di seluruh Sabah.
“Selagi kepimpinan negeri berada di landasan yang betul dan terus mendahulukan rakyat, kami di PDM Liau akan terus berdiri teguh bersama kerajaan GRS,” katanya.
— TAMAT

























Add Comment