KOTA KINABALU:Sayap Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kini berada pada tahap kesiapsiagaan penuh bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, kata Ketuanya, Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun.
Menurut beliau, lebih 28,000 jentera wanita GRS di seluruh negeri telah digerakkan lebih awal meliputi peringkat bahagian hingga ke akar umbi bagi memastikan persiapan logistik, koordinasi kempen dan strategi komunikasi berjalan lancar.
“Wanita GRS bukan sahaja bersedia dari segi tenaga dan organisasi, malah mempunyai semangat juang yang tinggi untuk memastikan mandat rakyat terus kekal bersama GRS. Suara wanita Sabah mesti terus menjadi salah satu teras kepada kestabilan politik negeri,” katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Ahad di sini .
Azizah berkata, peranan Wanita GRS kini melangkaui tugas tradisional kempen politik, apabila mereka turut terlibat dalam perancangan strategi komunikasi, pengurusan data pengundi, mendekati pengundi muda serta memperkukuh jaringan sokongan di kawasan luar bandar.
“Kita mahu wanita menjadi agen penerangan dasar-dasar kerajaan negeri dan pemangkin semangat perpaduan di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor,” ujarnya.
Beliau memaklumkan bahawa Wanita GRS turut melaksanakan program latihan, bengkel kepimpinan dan pemantapan jentera pilihan raya untuk memastikan setiap anggota memahami peranan masing-masing apabila kempen rasmi bermula kelak.
Dalam pada itu, Azizah mengingatkan ahli agar menolak sebarang bentuk fitnah, perpecahan atau propaganda politik sempit yang boleh menggugat kesatuan gabungan tersebut.
“Kekuatan GRS terletak pada kesatuan dan keikhlasan kita bekerja untuk rakyat. Ini masa untuk kita buktikan kesetiaan, disiplin dan kebersamaan demi memastikan kerajaan yang stabil dan berpaksikan rakyat dapat terus dipertahankan,” katanya.
Azizah yakin dengan kesiapsiagaan jentera wanita serta sokongan padu rakyat, GRS akan terus menjadi pilihan utama dalam memastikan kesinambungan pembangunan dan kemajuan Sabah.
— TAMAT

























Add Comment