Home » GRS digesa turun ke setiap rumah, dekati rakyat: Hajiji
Berita GRS Politik

GRS digesa turun ke setiap rumah, dekati rakyat: Hajiji

Semangat membara: Hajiji meniup semangat perjuangan kepada jentera GRS menjelang PRN17.

KOTA KINABALU: Seluruh jentera Gabungan Rakyat Sabah (GRS) digesa menggandakan usaha turun padang hingga ke setiap rumah bagi memastikan suara dan aspirasi rakyat benar-benar didengari menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Ketua Menteri merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegaskan bahawa kemenangan tidak datang dengan mudah, sebaliknya memerlukan kerja berpasukan, pengorbanan serta iltizam tinggi dari semua peringkat jentera.

“Jangan leka dan jangan berasa selesa dengan pencapaian yang ada. Setiap kampung, taman perumahan dan rumah mesti dikunjungi; setiap pengundi mesti dikenal pasti dan disantuni,” katanya ketika melancarkan Jentera Pilihan Raya GRS, di sini semalam.

Beliau mengingatkan bahawa GRS harus berjuang tanpa mengenal penat dan tidak mudah menyerah kalah.

“Patah galah bertongkat kaki, patah kaki bertongkat lutut, patah lutut bertongkat siku, patah siku bertongkat kuku,tetapi menyerah kalah tidak sekali,” tegasnya disambut sorakan jentera parti.

Hajiji berkata, kekuatan GRS bukan hanya terletak pada dasar pembangunan dan rekod pentadbiran, tetapi pada semangat juang serta kesetiaan pendukungnya di akar umbi.

Beliau menegaskan pilihan raya kali ini bukan sekadar untuk mendapatkan mandat baharu, tetapi mempertahankan masa depan Sabah agar terus dipimpin kerajaan yang stabil, berwibawa dan berorientasikan rakyat.

“Gunung tinggi kita daki, lautan dalam kita renangi. Jangan ada yang goyah. Ini masa untuk turun ke gelanggang dengan semangat membara demi rakyat dan negeri tercinta,” tambahnya.

— TAMAT