KOTA KINABALU: Generasi muda dinasihatkan agar lebih berhati-hati dengan penjajahan minda daripada pengaruh asing berikutan ledakan maklumat tanpa sempadan.
Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri, Datuk Redonah Bahanda berkata, penggunaan media sosial dalam kalangan masyarakat masa kini juga menyebabkan pengaruh luar sukar untuk disekat.
Beliau melahirkan kebimbangan itu sekiranya pelbagai unsur negatif mempengaruhi minda rakyat khususnya dalam kalangan generasi muda sekali gus meruntuhkan jati diri dan membawa kerosakan akhlak dan sosial.
“Sebagai generasi muda, pelajar perlu sedar bahawa dalam ledakan era globalisasi ini, mereka perlu mempunyai ketahanan mental bagi menghadapi cabaran membabitkan penjajahan minda daripada pengaruh asing.
“Semua pelajar perlu melengkapkan diri dengan semangat patriotisme yang tinggi agar menjadi lebih kompetitif dan dinamik,” katanya.
Beliau yang juga merupakan Ketua Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata demikian sempena perasmian Program Bulan Kebangsaan Sekolah Kebangsaan Lampada Kota Marudu di Dewan Terbuka Sekolah Kebangsaan (SK) Lampada Kota Marudu.
Redonah berkata, pelajar juga perlu bersikap lebih bijak dan matang dalam memilih apa yang baik dan yang buruk untuk dijadikan amalan dalam kehidupan.
“Jangan sesekali mudah terpengaruh dengan perkara negatif seperti bergaduh, mendengar hasutan kawan, mencuri, minum minuman keras, manjadi mat rempit, menceroboh asrama perempuan atau lelaki dan sebagainya,โ katanya.
Sementara itu, beliau juga mengajak generasi muda agar memahami dan menghayati erti sebenar kemerdekaan kepada diri dan keluarga sempena sambutan Bulan Kemerdekaan.
Katanya, melalui ilmu dan kefahaman yang jelas terhadap asal usul sesebuah negara, barulah rakyat khususnya generasi muda dapat mengerti kepentingan untuk menjaga keharmonian dan kedaulatan negara di samping mempertahankannya dengan apa cara sekalipun.
“Sebagai warganegara, kita seharusnya berasa bertuah menjadi sebahagian daripada rakyat negara yang berdaulat dan merdeka kerana kita dapat mengecapi kehidupan dalam suasana yang harmonis, aman serta sejahtera.
“Dengan nikmat kemerdekaan, rakyat di negara ini hidup lebih selesa, harmoni dan makmur serta bertolak ansur dalam menjalin hubungan sekali gus perpaduan kaum. Perpaduan adalah suatu nikmat yang amat berharga dan tidak ternilai harganya,” katanya.
— TAMAT
Add Comment