Home » MA63: 11 tuntutan berjaya diselesaikan jelas TPM
Blok Borneo Politik

MA63: 11 tuntutan berjaya diselesaikan jelas TPM

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof (kanan) berkata, Mesyuarat MTPMA63 penting bagi membolehkan kerajaan merencana tindakan susulan yang pragmatik berhubung status tuntutan di bawah MA63 yang belum selesai dilaksanakan.

KOTA KINABALU: Sebelas tuntutan di bawah platform rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diselesaikan setakat ini.

Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata tujuh daripada 11 tuntutan itu diselesaikan dalam tempoh dua tahun di bawah kepemimpinan Perdana Menteri Ke-10 (PMX), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, pencapaian itu menunjukkan komitmen jelas Perdana Menteri sekarang untuk menyelesaikan tuntutan berkaitan MA63 yang dikemukakan Sabah dan Sarawak.

“Di bawah PMX, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan JKR Sarawak diberi pengiktirafan sebagai Jabatan Teknik yang mana projek bernilai sehingga RM50 juta dikendalikan sendiri oleh JKR kedua-dua negeri.

“Begitu juga penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas, ia diputuskan di bawah kepemimpinan PMX,” katanya pada sidang media Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri, di sini, hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (duduk sembilan dari kanan) bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof,(enam dari kiri) bersama para pemimpin negeri Sabah dan Sarawak ketika menghadiri Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 di Pusat Konvensyen Antrabangsa Sabah, hari ini.

Turut hadir, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, (tujuh dari kiri) dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg (lapan dari kanan).

— fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA.

Katanya, perkara lain yang selesai di bawah Anwar ialah pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) 1995 (Akta 533) bagi melantik wakil kerajaan negeri Sabah dan Sarawak sebagai anggota tetap LHDN.

Seterusnya, Fadillah berkata, pentadbiran badan kehakiman di Sabah dan Sarawak juga diselesaikan di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

“Turut diselesaikan di bawah PMX ialah garis panduan khas penyerahan semula tanah dirizabkan bagi maksud Persekutuan di Sabah dan Sarawak; serta penyerahan kuasa kawal selia elektrik dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) daripada kerajaan Persekutuan kepada kerajaan Sabah.

“Satu lagi ialah cadangan mengenai Pindaan Perkara 95B berkaitan ubah suai bagi Sabah dan Sarawak mengenai Pembahagian Perundangan, Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Fadillah berkata, ketika di bawah Perdana Menteri Kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ada tiga perkara berkaitan tuntutan MA63 sudah diselesaikan.

Perkara terbabit, katanya ialah penyerahan kuasa ke atas pentadbiran Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan kepada kerajaan Sabah, Pindaan Perlembagaan Persekutuan Perkara 1(2)D dan Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan serta pemberian kuasa mengenai pelesenan dan penangkapan ikan laut dalam kepada kerajaan Sabah dan Sarawak.

Katanya, penyerahan kuasa kawal selia gas petroleum cecair (LPG) kepada kerajaan Sarawak adalah satu-satunya perkara diputuskan di bawah Perdana Menteri Kelapan, Datuk Seri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, Fadillah menyifatkan mesyuarat MTPMA63 amat penting bagi membolehkan kerajaan merencana tindakan susulan yang pragmatik berhubung status tuntutan di bawah MA63 yang belum selesai dilaksanakan.

“Atas komitmen itu juga, kita memutuskan untuk menambah baik struktur platform perundingan antara ketiga-tiga peringkat kerajaan dengan memperkukuhkannya melalui pelantikan keahlian baharu dalam platform MTPMA63,” katanya.

Izwan Abdullah

About the author

JABT

Add Comment

Click here to post a comment