BEAUFORT: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah sebuah gabungan politik utama di Sabah yang tidak wajar dipandang rendah kerana ia membawa suara rakyat dari pelbagai latar belakang dan kawasan.
Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Lumadan, Mazlan Joehari Manan berkata, sebagai sebuah ‘bahtera besar’, GRS menjadi lambang kestabilan politik dan aspirasi rakyat Sabah yang inginkan pembangunan mampan dan autonomi lebih besar.
“GRS adalah sebuah gabungan politik utama di wilayah ini yang tidak wajar dipandang rendah oleh mana-mana pihak kerana ia mewakili denyut nadi rakyat Sabah secara menyeluruh.
“Ia juga bukan sekadar gabungan biasa, ia adalah satu kesatuan yang matang dan manifestasi suara rakyat Sabah yang mahukan kemajuan, kestabilan, dan keadilan.
“Kami juga bukan suara kecil..kami adalah suara arus perdana. Gabungan ini adalah ‘bahtera besar’ yang membawa harapan dan masa depan wilayah ini.
“Paling penting, kita ada kuasa autonomi sebagai sebuah gabungan parti tempatan utama berbanding pihak-pihak lainnya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang menegaskan kesediaan GRS bertanding solo pada PRN17 sebagai respon terhadap keputusan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang akan bekerjasama bagi menghadapi PRN17.
Bagaimanapun, Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud pada Sabtu, baru-baru ini memaklumkan masih ada ruang perbincangan bagi potensi kerjasama antara GRS dan gabungan PH-BN.
Ketika ditanya mengenai kemungkinan kerjasama GRS dengan PH-BN pada PRN17 susulan kenyataan Mustapha itu, Mazlan berkata, semua kemungkinan boleh berlaku namun menegaskan sebagai gabungan utama Sabah, GRS harus dominan.
Beliau yang juga Pegawai Khas Kepada Ketua Menteri berkata, GRS harus bertanding lebih separuh dariparq 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) jika kerjasama itu berlaku.
“Apa sekalipun bentuk kerjasama politik, GRS harus dominan dalam agihan kerusi pilihanraya seterusnya dominan dalam memperjuangkan hak rakyat melalui kerajaan negeri Sabah.
“Saya secara peribadi berpendapat, GRS harus tanding sekurang-kurangnya 50 daripada 73 kerusi Dun sedia ada, jika berhasrat mahu bekerjasama tetapi sekiranya tiada perundingan, kita bersedia bergerak solo pada PRN17,” katanya.
Pemerhati politik menjangkakan GRS bakal menjadi kuasa penentu dalam landskap politik nasional selepas PRN17 terutamanya dalam memperjuangkan suara wilayah Borneo di peringkat Persekutuan.
— TAMAT

























Add Comment