KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) disaran bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang sebagai langkah berani untuk mempertahankan maruah dan hak rakyat negeri itu.
Ketua Penerangan Gagasan Rakyat N6 Bandau, Dr. Jurin Gunsalam berkata, keputusan itu bukan bersifat angkuh, tetapi satu keperluan untuk memastikan Sabah ditadbir mengikut acuan sendiri tanpa bergantung kepada parti politik dari Semenanjung.
“Sudah terlalu lama suara rakyat Sabah tenggelam dalam arus politik Malaya. Kini tiba masanya kita bangkit dan mentadbir negeri ini dengan kekuatan sendiri,” tegas beliau dalam satu kenyataan.
Menurut Dr. Jurin, GRS sebagai gabungan parti-parti tempatan perlu tampil sebagai suara yang benar-benar memahami aspirasi rakyat Sabah.
Beliau menegaskan bahawa pergantungan kepada parti dari luar telah mengakibatkan kelewatan pembangunan, ketidakseimbangan peruntukan, dan campur tangan dalam urusan pentadbiran negeri.
“Sekiranya kita terus bergantung pada kuasa luar, kita tidak akan pernah bebas membuat keputusan yang berpihak kepada rakyat Sabah,” tambah beliau.
Dalam kenyataan yang sama, beliau turut mencadangkan pembentukan Blok Borneo bersama rakan di Sarawak, Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebagai strategi memperkukuh suara Sabah dan Sarawak di peringkat nasional, khususnya dalam menuntut pelaksanaan penuh Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Sabah dan Sarawak mempunyai sejarah dan perjuangan yang sama. Blok Borneo akan menjadi platform untuk menuntut hak autonomi, hasil bumi, dan kebebasan pentadbiran yang telah lama dinafikan,” ujarnya lagi.
Dr. Jurin turut menekankan bahawa tuntutan autonomi bukan satu bentuk pemberontakan, sebaliknya satu hak sah yang termaktub dalam pembentukan Malaysia.
Autonomi, katanya, membolehkan Sabah membuat keputusan sendiri dalam isu-isu penting seperti pendidikan, kesihatan dan ekonomi.
Beliau juga menggesa rakyat agar tidak terpedaya dengan janji manis ketika musim pilihan raya yang sering kali tidak ditepati, sebaliknya rakyat harus memberikan mandat penuh kepada GRS sebagai parti yang paling dekat dengan denyut nadi rakyat Sabah.
“Sabah adalah tanah yang kaya. Kita hanya perlukan kepimpinan yang jujur, berani dan tidak tunduk kepada kuasa luar. Masa depan anak-anak kita bergantung kepada keputusan kita hari ini,” katanya.
Mengakhiri kenyataan itu, beliau menyeru rakyat untuk bersatu hati demi masa depan yang lebih baik sambil menegaskan bahawa GRS bertanding solo bukan untuk berlagak, tetapi demi mempertahankan maruah dan hak rakyat Sabah.
— Mirlen Axtius

























Add Comment