Home » Henti sebarkan fitnah, pesan Redonah kepada segelintir pihak
Berita Gagasan Rakyat Politik

Henti sebarkan fitnah, pesan Redonah kepada segelintir pihak

Ketua Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Redonah Bahanda .


KOTA KINABALU: Ketua Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Redonah Bahanda menyifatkan kenyataan Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri UMNO Sabah yang menggesa Ketua Menteri meletak jawatan adalah sesuatu yang bersifat jahat serta tidak berasas.


Mengulas lanjut, Redonah berkata kenyataan mereka hanyalah bertujuan untuk menjejaskan imej Ketua Menteri sedangkan video-video pemimpin yang tular belum ditentukan kesahihannya oleh pihak berkuasa.


“Tidak ada mana-mana pihak yang mempunyai kuasa untuk menghukum atau menghakimi selagi sebarang keputusan salah laku belum dinyatakan oleh pihak berkuasa dengan sewajarnya, dan hentikan segala tuduhan dan hasutan jahat.


“Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri UMNO Sabah cuba mengalihkan perhatian tentang kes mahkamah yang sedang berjalan yang mengaitkan pimpinan utama UMNO Sabah yang kesnya sedang berjalan di mahkamah dan diminta untuk membela diri.

 
“Tindakan individu-individu ini sudah jelas, terang lagi bersuluh, ada niat lain sebenarnya dan cuba untuk ‘menghalalkan’ usaha hasutan rakyat, ” katanya.


Tindakan itu kata Redonah seolah-olah ingin mengikuti jejak pimpinan UMNO Sabah untuk mengadakan ‘Langkah Kinabalu II’ bagi mendesak supaya diadakan pilihan raya segera.


“Sabar, tidak perlu gelojoh dan terlalu kemaruk untuk memegang tampuk pemerintahan negeri Sabah. Sampai masa kelak, PRN pasti akan berlangsung juga. Fokus kita sekarang adalah bantu rakyat Sabah.


“Lihat sendiri, sejak Ketua Menteri menerajui kepimpinan Kerajaan Negeri, terbukti beliau berjaya kerana pelbagai usaha berterusan dalam membawa hala tuju dan perancangan untuk Sabah menjadi realiti. Rakyat hari ini menikmati manfaatnya, ” katanya.


Tambahan itu, Ketua Menteri juga telah memberi jaminan bahawa beliau akan berpegang kepada prinsip keadilan, ketelusan dan kejujuran, di bawah pentadbirannya.


“Ini terbukti apabila beberapa pemimpin yang difitnah itu telah datang ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sendiri secara rela tanpa dipanggil untuk memberi penjelasan.


“Mereka tidak pernah lari dan memberi kerjasama kepada agensi terlibat seperti SPRM, dan membuktikan membuktikan bahawa pemimpin-pemimpin Gagasan Rakyat bertindak secara benar dan telus dan menafikan sekeras-kerasnya fitnah jahat yang dilemparkan terhadap mereka, ” katanya.

— Kenneddy Corlleus