Home » Kagum usaha Ketua Menteri perkasa parti tempatan
Berita GRS Politik

Kagum usaha Ketua Menteri perkasa parti tempatan

Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Haji Nizam Bin Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan

KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan memuji komitmen Ketua Menteri (KM) Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dalam memperjuangkan usaha memartabatkan parti tempatan sebagai parti pimpinan utama rakyat Sabah.

“Apa yang dinyatakan oleh KM kita adalah sesuatu yang jelas dan sebagai Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), tindakan beliau wajar disambut baik oleh semua pihak kerana itu adalah realiti, keutamaan untuk parti-parti tempatan dalam menentukan hala tuju politik negeri Sabah.

“Saya secara peribadi menyokong penuh pendirian tersebut kerana sememangnya parti-parti tempatan harus menjadi teras kepada pentadbiran negeri, kerana parti tempatan yang benar-benar memahami realiti, budaya dan keperluan rakyat Sabah,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media di sini hari ini.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas itu juga, GRS merupakan sebuah gabungan parti yang fokus dan menyeluruh dalam usaha membawa suara tempatan, sekaligus memacu hala tuju baru dalam pembangunan Sabah.

“GRS bukan sekadar bawa suara tempatan, tapi GRS juga ada barisan pemimpin yang bawa kestabilan dalam pembangunan dasar-dasar yang berteraskan kepadaa Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Ketegasan GRS adalah berpaksikan kepada prinsip untuk tidak mengabaikan aspirasi akar umbi, GRS utamakan hasrat akar umbi dan apa yang penting untuk akar umbi adalah sensitiviti serta konteks politik negeri ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Nizam turut memberitahu bahawa GRS sentiasa menghormati semua parti-parti nasional dan faham akan peranan serta kerangka Kerajaan Perpaduan.

“Kita faham kerangka Kerajaan Perpaduan, namun kerjasama politik mesti berpaksikan kepada prinsip saling menghormati, bukan dengan meminggitkan kekuatan dan suara tempatan.

“Jika ada pihak yang cuba untuk membentuk kerjasama baru tanpa melibatkan GRS atau bukan melalui saluran muafakat sedia ada, maka itu adalah sebuah tindakan tidak matang, beremosi, dangkal dan tidak memberi gambaran keikhlasan terhadap aspirasi dan kehendak rakyat Sabah,” katanya. 

Nizam menegaskan bahawa Gagasan Rakyat akan kekal komited dalam usaha mengukuhkan GRS sebagai sebuah platform utama yang memperjuangkan kestabilan politik, kedaulatan suara tempatan dan kemajuan berterusan negeri Sabah.

Gagasan Rakyat kekal komited memperkukuh GRS sebagai platform utama memperjuangkan kestabilan politik, kedaulatan suara tempatan, dan kemajuan berterusan buat negeri Sabah.

— ZE

About the author

JABT

Add Comment

Click here to post a comment