KOTA KINABALU:Sabah menyasarkan kutipan 40 pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-22 di Selangor, dengan kerajaan negeri mengekalkan insentif RM10,000 kepada setiap atlet yang berjaya memenangi pingat emas sebagai galakan mencipta kecemerlangan buat kontinjen negeri.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata sasaran itu disandarkan kepada persiapan awal dan rapi yang dilaksanakan sejurus selepas Sukan Sabah (SAGA) tahun lalu.
Beliau berkata, atlet-atlet berpotensi telah dikenal pasti lebih awal sebelum menjalani program latihan intensif serta didedahkan kepada penyertaan dalam pelbagai kejohanan di dalam dan luar negara bagi meningkatkan tahap daya saing.
“Berdasarkan analisis prestasi atlet kita serta perbandingan dengan pencapaian negeri-negeri lain, kita yakin sasaran 40 pingat emas mampu dicapai,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Terakhir Persiapan Kontinjen Sabah bagi menghadapi SUKMA Ke-22 dan Para SUKMA Selangor 2026 di Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah (KBSK), Selasa.
Menurut Nizam, Sabah akan menghantar 943 anggota kontinjen, termasuk 744 atlet, untuk menyertai 36 daripada 37 jenis sukan yang dipertandingkan. Sabah hanya tidak mengambil bahagian dalam acara Kabaddi kerana negeri ini belum mempunyai program pembangunan bagi sukan berkenaan.
Bagi temasya Para SUKMA pula, Sabah akan menghantar 271 pegawai dan atlet untuk bersaing dalam kesemua 10 acara yang dipertandingkan.
Nizam berkata, Sabah turut menyasarkan 66 pingat emas pada Para SUKMA dalam usaha merampas semula gelaran juara keseluruhan selepas muncul naib juara pada edisi Sarawak 2024.
Beliau berkata, keyakinan itu disokong oleh peningkatan prestasi atlet muda dan atlet berpengalaman, selain penggunaan sains perubatan sukan serta bimbingan mentor berpengalaman.
“Kita mempunyai gabungan atlet muda dan atlet berpengalaman yang menunjukkan peningkatan prestasi yang memberangsangkan. Dengan sokongan sains perubatan sukan serta bimbingan mentor berpengalaman, kita yakin mampu mencapai sasaran yang ditetapkan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri menerusi KBSK mengekalkan kadar insentif kemenangan, iaitu RM10,000 bagi pingat emas, RM3,000 bagi perak dan RM2,000 bagi gangsa.
“Kita mahu semua atlet memburu pingat emas. Sasaran kita bukan RM3,000 atau RM2,000, tetapi RM10,000 melalui kejayaan membawa pulang emas untuk Sabah,” katanya.
SUKMA Ke-22 akan berlangsung di Selangor dari 15 hingga 24 Ogos, manakala Para SUKMA dijadualkan berlangsung dari 5 hingga 11 September.

























Add Comment