KOTA KINABALU:Kerajaan Negeri akan terus mengutamakan usaha memperkukuh sektor tenaga sebagai antara agenda strategik pembangunan Sabah bagi memastikan bekalan elektrik yang mencukupi, stabil, berdaya harap dan mampu menyokong pertumbuhan ekonomi negeri dalam jangka panjang.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata kerajaan bukan sahaja memberi tumpuan kepada penyediaan bekalan elektrik yang mencukupi, malah komited membangunkan sistem tenaga yang lebih cekap, mampan dan berdaya tahan demi manfaat generasi akan datang.
Beliau berkata, komitmen itu diterjemahkan menerusi pelaksanaan Sabah Energy Roadmap and Master Plan 2040 (SE-RAMP 2040) yang menjadi hala tuju strategik pembangunan sektor tenaga negeri.

“Pelan ini menjadi panduan kepada usaha memperkukuh keselamatan tenaga, mempelbagaikan sumber tenaga, meningkatkan penggunaan tenaga boleh baharu serta memastikan pembangunan sektor tenaga terus menyokong aspirasi ekonomi negeri.
“Usaha ini penting bagi memastikan bekalan elektrik Sabah kekal mencukupi, stabil, berdaya harap dan mampu milik selaras dengan aspirasi peralihan tenaga negeri,” katanya.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam, pada Majlis Peluncuran Tenaga Lestari Rakyat Sabah di sini, hari ini.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.
Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) atas komitmen berterusan memacu pembangunan sektor tenaga negeri melalui pendekatan yang progresif, berpandangan jauh dan berteraskan kepentingan rakyat.
Menurut beliau, pelancaran Sabah Energy Efficiency Action Plan (SEEAP) dan Program Solar Rakyat Sabah merupakan satu lagi langkah penting dalam merealisasikan agenda peralihan tenaga negeri.
Beliau berkata, pelbagai inisiatif yang diperkenalkan melalui program berkenaan saling melengkapi dalam membentuk ekosistem tenaga yang lebih mampan.
Antaranya ialah pengiktirafan terhadap projek-projek solar, pelaksanaan inisiatif Government Lead by Example, kerjasama dengan institusi latihan, pembangunan usahawan menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) serta pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
“Pembangunan tenaga lestari memerlukan penyertaan semua pihak. Kerjasama erat antara kerajaan, industri, institusi pendidikan dan masyarakat amat penting bagi memastikan setiap dasar yang diperkenalkan dapat dilaksanakan secara berkesan serta memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji berkata kerajaan negeri mahu melihat penggunaan tenaga yang lebih cekap dan berhemah di semua sektor, di samping memperluaskan penyertaan rakyat dalam penggunaan tenaga boleh baharu.
Beliau berkata, kerajaan juga komited mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi menggalakkan inovasi, pelaburan dan pembangunan industri tenaga bernilai tinggi yang mampu meningkatkan daya saing ekonomi Sabah.
“Peralihan tenaga bukan sekadar melibatkan teknologi, tetapi turut merangkumi aspek dasar, pelaburan, pembangunan modal insan, penyelidikan dan inovasi.
“Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan, ECoS, pemain industri, pelabur, institusi kewangan, sektor swasta serta semua pihak berkepentingan bagi memastikan Sabah memiliki sistem tenaga yang mampan dan mampu menyokong pembangunan negeri untuk beberapa dekad akan datang,” katanya.

























Add Comment