KOTA KINABALU:Kerajaan Negeri terus memperkukuh agenda pembangunan modal insan apabila memperuntukkan lebih RM100 juta bagi Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) tahun ini, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada anak Sabah melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, khususnya dalam bidang strategik.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata peruntukan itu merangkumi pembiayaan kepada penerima sedia ada serta tajaan baharu tahun 2026 yang melibatkan 2,182 pelajar di peringkat diploma, ijazah sarjana muda dan sarjana.
Menurut beliau, sehingga kini seramai 13,389 pelajar telah menerima tajaan BKNS, membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan lebih ramai anak Sabah mendapat akses kepada pendidikan berkualiti.
“Kerajaan negeri sentiasa mengutamakan pembangunan pendidikan kerana ia merupakan asas penting dalam melahirkan modal insan yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah Siri Ke-37 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Hajiji, yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, berkata kerajaan negeri turut menambah 10 penerima Anugerah Biasiswa Cemerlang Kerajaan Negeri Sabah, menjadikan jumlah keseluruhannya seramai 60 penerima.
Beliau berkata, kerajaan negeri terus menawarkan pelbagai skim biasiswa utama, termasuk Biasiswa Anugerah Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Biasiswa Perdana, Biasiswa Cemerlang Kerajaan Negeri Sabah serta Biasiswa Program B40 dan Luar Bandar.
Selain itu, Kumpulan Yayasan Sabah turut meningkatkan jumlah penerima Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah daripada 40 kepada 50 penerima sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademik pelajar Sabah.
Dalam usaha memperkukuh pembangunan modal insan sektor kesihatan, Hajiji berkata seramai 30 anak Sabah akan dipilih mengikuti program pembangunan bakat dalam bidang Diploma Sains Perubatan dan Kesihatan, Diploma Fisioterapi serta Ijazah Sarjana Muda Sains Teknologi Kardiovaskular.
Menurut beliau, program itu dilaksanakan hasil kerjasama strategik antara Kumpulan Yayasan Sabah, Institut Jantung Negara (IJN) dan IJN University College menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai pada April lalu bagi memenuhi keperluan tenaga mahir dalam sektor kesihatan.
Pada masa sama, beliau berkata seramai 15 anak Sabah sedang mengikuti Program Pembantu Perawatan Pesakit di IJN University College menerusi inisiatif Yayasan Sabah melalui University College Sabah Foundation (UCSF).
Hajiji berkata, kerajaan negeri turut meneruskan pelbagai bentuk bantuan pendidikan bagi meringankan beban pelajar dan keluarga.
Beliau berkata, sejak diperkenalkan, Biasiswa Cemerlang Kerajaan Negeri Sabah (BCKNS) telah memberi manfaat kepada 835 penerima dengan perbelanjaan keseluruhan RM141.29 juta, manakala Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) yang diperkenalkan pada 2022 telah membantu 15,629 penerima membabitkan peruntukan melebihi RM25 juta.
Selain itu, Majlis Ugama Islam Negeri Sabah (MUIS) melalui Bahagian Zakat dan Fitrah telah menyalurkan bantuan pendidikan melebihi RM12.7 juta bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, termasuk bantuan yuran awal pengajian dan tiket penerbangan kepada pelajar yang melanjutkan pengajian.
Beliau berkata, Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas) turut meneruskan 14 inisiatif pendidikan yang diperkenalkan sejak 2021, antaranya BUDI, BAKTI, BAIK, SUBFLY dan SENTOSA.

Hajiji turut menyifatkan peningkatan prestasi pendidikan Sabah sebagai petanda positif apabila keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 mencatat Gred Purata Negeri (GPN) 4.85, berbanding 5.00 pada tahun sebelumnya, sekali gus menjadi kali pertama Sabah merekodkan GPN di bawah paras 5.00.
Sehubungan itu, beliau menggesa pelajar agar terus mengekalkan kecemerlangan akademik serta meneroka bidang-bidang strategik seperti Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), minyak dan gas, tenaga, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta kecerdasan buatan (AI) yang dijangka menjadi pemacu utama pembangunan ekonomi negeri pada masa hadapan.

























Add Comment