Home » Teknologi perlu pacu produktiviti, lahir bakat tempatan dan cipta pekerjaan di Sabah:Masidi
Berita GRS Politik

Teknologi perlu pacu produktiviti, lahir bakat tempatan dan cipta pekerjaan di Sabah:Masidi

KERJASAMA STRATEGIK: Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun menyaksikan pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) antara Sri Komputer Sdn Bhd dan Infor (Malaysia) Sdn Bhd di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, Selasa.

KOTA KINABALU:Kerjasama dalam bidang teknologi di Sabah perlu diterjemahkan kepada peningkatan produktiviti, pembangunan bakat tempatan serta penciptaan peluang pekerjaan, dan bukan sekadar mengguna pakai teknologi tanpa impak yang jelas kepada ekonomi negeri.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, berkata transformasi digital perlu memberi nilai sebenar kepada organisasi melalui penyelesaian cabaran operasi, peningkatan kecekapan dan pengukuhan daya saing.

Beliau berkata, kejayaan sesuatu kerjasama teknologi harus diukur berdasarkan manfaat yang dibawa kepada rakyat dan ekonomi, termasuk peningkatan produktiviti, pembangunan kemahiran tempatan serta pewujudan peluang pekerjaan berkualiti.

“Kerjasama teknologi mesti menghasilkan peningkatan yang boleh diukur dari segi produktiviti, kemahiran tempatan dan peluang pekerjaan supaya dapat menyumbang secara bermakna kepada ekonomi Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) antara Sri Komputer Sdn Bhd dan Infor (Malaysia) Sdn Bhd di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, Selasa.

Masidi berkata, penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan, analitik data dan automasi mampu membantu organisasi meningkatkan kecekapan operasi, mengoptimumkan kos, memperkukuh rantaian bekalan serta membuat keputusan yang lebih tepat berasaskan data.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa teknologi bukanlah matlamat akhir, sebaliknya satu pemangkin untuk meningkatkan produktiviti, memperkukuh tadbir urus, menambah baik kualiti perkhidmatan serta memperkasakan daya tahan perniagaan.

“Teknologi seharusnya memperkukuh pertimbangan yang baik, bukannya menggantikannya,” katanya.

Menurut beliau, kerjasama antara syarikat teknologi antarabangsa dan perusahaan tempatan mampu menggabungkan kepakaran global dengan pemahaman mendalam terhadap keperluan industri serta persekitaran operasi di Sabah.

Dalam pada itu, Masidi menekankan bahawa agenda pendigitalan perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab dengan memberi perhatian kepada aspek keselamatan siber, perlindungan data, ketelusan, akauntabiliti dan pengawasan manusia.

Beliau turut menggesa supaya latihan, pemindahan pengetahuan dan pembangunan profesional terus diperkukuh bagi melahirkan lebih ramai tenaga mahir tempatan dalam bidang teknologi, inovasi dan pengurusan.

“Ekonomi digital yang mampan tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada kepakaran luar. Sabah perlu terus membangunkan tenaga profesional, usahawan teknologi dan penyedia penyelesaian tempatan yang mampu bersaing,” katanya.