KOTA KINABALU : Pertandingan Forum Pelajar Kebangsaan terus diiktiraf sebagai platform terbaik dalam menyemai rasa cinta dan kebanggaan terhadap bahasa kebangsaan, khususnya dalam kalangan pelajar berbilang kaum di negara ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, pertandingan yang kini memasuki tahun ke-33 itu perlu dikekalkan kerana peranannya amat besar dalam memperkukuh bahasa Melayu sebagai medium integrasi dan perpaduan nasional.
“Program ini bukan sahaja melahirkan pelajar yang mampu berhujah dengan matang dan berwibawa, malah berjaya meningkatkan keyakinan diri, semangat berpasukan dan kreativiti mereka. Proses sebegini penting untuk membentuk generasi muda menjadi pemimpin masa depan,” katanya.
Ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir, sempena majlis penutupan pertandingan di Sekolah Menengah Kian Kok, semalam.
Menurut Hajiji, cabaran terbesar dalam memartabatkan bahasa kebangsaan ialah pengaruh bahasa asing serta penggunaan bahasa rojak yang kian meluas dalam komunikasi harian, khususnya di media sosial.
“Namun cabaran ini bukan alasan untuk kita berundur. Melalui peranan aktif Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), usaha memelihara bahasa kebangsaan dapat diperkukuh dengan penglibatan semua kaum,” tegasnya.
Beliau turut menekankan kepentingan menguasai bahasa lain, terutamanya bahasa Inggeris, untuk memperluas ilmu pengetahuan selaras dengan dasar MBMMBI – Memartabatkan Bahasa Melayu dan Mengukuhkan Bahasa Inggeris.
Hajiji turut berbangga kerana Sabah dipilih sebagai tuan rumah pertandingan peringkat kebangsaan tahun ini yang menyaksikan penyertaan pelajar dari seluruh negara.
Beliau merakamkan penghargaan kepada DBP atas sokongan padu terhadap penganjuran program tersebut bersama Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Persatuan Kebudayaan Han Malaysia serta Persatuan Penterjemah dan Penulisan Kreatif (PERSPEKTIF).
— TAMAT

























Add Comment