Home » Mahkamah Syariah Papar siap Ogos tahun depan – Armizan
Uncategorized

Mahkamah Syariah Papar siap Ogos tahun depan – Armizan

ARMIZAN (kedua dari kiri) mendengar taklimat daripada kontraktor mengenai projek itu.

PAPAR: Daerah ini bakal memiliki sebuah bangunan Mahkamah Syariah sekali gus memudahkan masyarakat setempat dan kawasan berdekatan untuk menyelesaikan sebarang urusan berkaitan.

Difahamkan, kerja-kerja awal pembinaan projek bernilai RM18.5 juta di tapak seluas 2.78 ekar di Kampung Benoni, sudah bermula dan dijangka siap sepenuhnya pada 25 Ogos tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pembangunan Mahkamah Syariah Daerah Papar ini adalah projek di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Katanya, projek yang diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) pada 2018 itu difahamkan mengalami sedikit kelewatan antaranya membabitkan kesesuaian lokasi dengan kos awal berjumlah RM16.5 juta.

Tapak yang dikenal pasti adalah kawasan paya/berair dan memerlukan tambahan kewangan.

“Kerajaan Persekutuan telah bersetuju meluluskan tambahan kos siling projek sebanyak RM3.5 juta dan nilai terkini projek bangunan Mahkamah Syariah Daerah Papar adalah RM18.5 juta.

“Proses perolehan projek kini telah selesai dan kebenaran masuk tapak bagi pelaksanaan kerja tanah telah diberikan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya semasa tinjauan projek itu di Kampung Benoni, di sini, Sabtu.

Pada lawatan itu, beliau diberi taklimat oleh pihak kontraktor mengenai status kemajuan kerja-kerja pembinaan bangunan itu yang turut dilengkapi kemudahan lengkap awam.

Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, tinjauan dilakukan ini bagi melihat status perkembangan kerja-kerja awal  sekali gus mendapatkan maklum balas sekiranya masih terdapat isu berbangkit.

Beliau turut meminta semua pihak yang terlibat supaya memastikan pelaksanaan projek itu berjalan lancar dan disiapkan mengikut jadual ditetapkan.

“Pembangunan Mahkamah Syariah baharu di Papar merupakan manifestasi keprihatinan kerajaan persekutuan demi manfaat penduduk tempatan dan penjawat awam yang terlibat.

“Bangunan baharu ini kelak akan membolehkan rakyat memiliki prasarana dan persekitaran perkhidmatan lebih kondusif, sekali gus meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan,” katanya.

— Iskandar Dzulkifli