Home » PMR 2025 ke peringkat daerah bantu golongan usahawan
Berita GRS Politik

PMR 2025 ke peringkat daerah bantu golongan usahawan

MADANI: Hajiji menerima replika cek Projek Siap Premis Tamu Desa di Sabah daripada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia selaku Peneraju Program Madani Rakyat 2025 Sabah, Datuk Ewon Benedick sambil disaksikan Perdana Menteri.

TAWAU: Usaha membawa program pembangunan kerajaan MADANI seperti Program MADANI Rakyat (PMR) ke peringkat daerah, memberi peluang kepada golongan usahawan tempatan mendapat maklumat berkaitan program keusahawanan yang dibawa oleh kerajaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Penglima Hajiji Haji Noor berkata, ia secara tidak langsung dapat mempromosi produk tempatan kepada masyarakat luar sekali gus menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sektor pelancongan domestik.

“Usaha ini juga sebagai langkah mendekati dan mendampingi rakyat memandangkan aktiviti mempromosi program-program pembangunan Kerajaan MADANI tidak hanya tertumpu di kawasan-kawasan tertentu sahaja.

“Inilah bukti bahawa Kerajaan MADANI tidak pernah mengabaikan tanggungjawab terhadap rakyat walau di mana pun mereka berada,” katanya sempena Majlis Perasmian PMR 2025 Sabah yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dataran Majlis Perbandaran Tawau, pada Ahad ,di sini.

Dalam pada itu, Hajiji turut berharap Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia (KUSKOP) akan terus membawa sekali gus membantu dalam memperkasa pembangunan keusahawanan, khususnya di negeri ini.

“Inisiatif keusahawanan yang direncana khusus di Sabah seperti Projek Premis Tamu Desa, usaha pendigitalan melalui TEKUN, TikTok Shop, pembiayaan sehingga RM800 juta, serta pembukaan Hab Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) oleh SME Corporation Malaysia, memberi impak positif kepada lebih 50,000 usahawan mikro, kecil dan sederhana di Sabah.

“Inisiatif ehsan@KUSKOP juga dilihat mampu membantu menoktahkan kemiskinan tegar melalui pendekatan intervensi bersasar yang melibatkan bimbingan, latihan, modal dan pemantauan menyeluruh.

“Pendekatan yang dibawa oleh KUSKOP ini memberi nilai tambah yang strategik kepada landskap keusahawanan tempatan. Justeru, saya berharap program ehsan@KUSKOP ini dapat diperluaskan lagi ke lain-lain daerah dan kawasan luar bandar di Sabah,” katanya.

Beliau juga mahu capaian perkhidmatan perbankan terutamanya bagi agensi-agensi di bawah KUSKOP, diperluaskan.

Pihaknya berharap institusi seperti Bank Rakyat akan mempertimbangkan untuk membuka lebih banyak cawangan atau sekurang-kurangnya meletakkan mesin pengeluaran automatik (ATM) di kawasan luar bandar, sebagai kemudahan untuk rakyat, terutama golongan usahawan tempatan.

Hajiji berkata, di peringkat negeri beberapa program yang berkaitan dengan pembangunan keusahawanan turut disediakan kepada belia antaranya Skim Jaya Usahawan Belia (Syabas) di bawah Kementerian Belia dan Sukan Sabah.

“Di bawah Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, terdapat juga beberapa program yang menjurus kepada pembangunan keusahawanan dalam kalangan belia, seperti Bengkel Skim Usahawan Siswazah (BUSS) dan Bengkel Skim Usahawan Teknikal (BEST) yang masing-masing menyasarkan belia lepasan universiti dan lepasan institusi vokasional atau kemahiran.

“Kerajaan negeri melalui Yayasan Usaha Maju (YUM), sebuah agensi yang diwujudkan sejak 1995, terus membantu golongan peniaga dengan menawarkan pinjaman mikro kepada kumpulan sasar, termasuklah usahawan wanita, yang memerlukan modal untuk memajukan perniagaan mereka,” katanya.

Beliau berkata, kemajuan sektor keusahawanan bergantung rapat dengan prestasi ekonomi negeri dan negara.

“Sejak berakhirnya Pandemik COVID-19 pada 2021, ekonomi Sabah yang sebelum ini jatuh merudum, menunjukkan perkembangan yang positif dengan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mula meningkat daripada RM82.1 bilion pada 2022 kepada RM83.2 bilion pada 2023.

“KDNK Sabah untuk tahun 2024 ialah sebanyak RM84.9 bilion. Ini jelas memperlihatkan keupayaan dan kesungguhan kerajaan negeri bukan sahaja dalam memulihkan semula ekonomi tetapi juga meletakkan prestasi ekonomi Sabah ditahap yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga komited untuk merancakkan lagi program membasmi miskin tegar di Sabah selepas berjaya mengurangkan kadar miskin dan miskin tegar secara signifikan. 

“Kejayaan ini hasil kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, dengan pelaksanaan beberapa inisiatif seperti Rumah Mesra SMJ, Sentuhan Kasih Rakyat Sabah dan dasar kerajaan negeri yang memberi keutamaan pengambilan pekerja dalam kalangan Ketua Isi Rumah (KIR) yang tergolong dalam miskin dan miskin tegar oleh agensi kerajaan negeri dan syarikat berkaitan kerajaan terpilih,” jelasnya.

Sehubungan itu, Hajiji berkata, hubungan erat yang sedia terjalin antara kerajaan negeri dengan kerajaan Pusat akan terus diperkukuhkan.

“Kita optimis, kerjasama dan hubungan akrab antara kedua-dua kerajaan, negeri dan Persekutuan, adalah kunci kepada kejayaan kita bersama dalam mencapai matlamat masyarakat madani, iaitu masyarakat yang progresif, berilmu, berintegriti dan hidup dalam suasana makmur dan harmoni,” katanya.

— TAMAT