KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tetap berpendirian bahawa kerajaan negeri haruslah dikelola oleh parti tempatan Sabah demi kepentingan dan masa depan rakyat negeri ini.
Ketua Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Tanjung Keramat, Burhanuddin Yahya Hussin berkata, pihaknya menyokong penuh seruan Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor untuk bergerak secara solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bakal berlangsung tahun ini.
Beliau berkata, kenyataan sebulat suara itu dibuat semasa Persidangan Cawangan Tahunan Gagasan Rakyat Cawangan Kuala Putatan yang berlangsung dengan kehadiran lebih 100 ahli, termasuk ahli lama dan ahli baharu yang mendaftarkan diri pada malam itu.
Katanya, ia juga sebagai respon kepada kenyataan daripada pihak Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang menunjukkan hasrat untuk bersepakat dalam menghadapi PRN akan datang.
“Kunci kejayaan kerajaan negeri adalah kestabilan politik. Situasi tukar-tukar kerajaan ini tidak membawa apa-apa kemajuan kepada rakyat Sabah,” katanya.
Beliau turut menggesa semua ahli Gagasan Rakyat, khususnya di Bahagian Tanjung Keramat agar memperkukuhkan saf perjuangan demi memastikan kestabilan dan pembangunan berterusan di Sabah.
— TAMAT

























Add Comment