Home » RM1.85 juta bantu pelajar Sabah di Timur Tengah – Hajiji
Uncategorized

RM1.85 juta bantu pelajar Sabah di Timur Tengah – Hajiji

Hajiji membuat pengumuman itu pada perhimpunan bersama pelajar Sabah di universiti di Mesir, Jordan dan Arab Saudi anjuran Yayasan Sabah di sini pada Sabtu lepas.

KAHERAH: Kerajaan negeri meluluskan peruntukan berjumlah RM1.85 juta untuk membantu meringankan beban pelajar Sabah yang sedang menuntut di Mesir, Arab Saudi dan Jordan.


Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, kerajaan sentiasa memahami isu berhubung kos sara hidup yang tinggi dihadapi oleh pelajar di Timur Tengah.


Katanya, peruntukan bantuan berkenaan akan diselaraskan oleh Yayasan Kebajikan Sabah dan Yayasan Sabah.


Beliau membuat pengumuman itu pada perhimpunan bersama pelajar Sabah di universiti di Mesir, Jordan dan Arab Saudi anjuran Yayasan Sabah di sini pada Sabtu lepas.


“Saya mahu semua pelajar terus fokus pada pelajaran dan menggunakan peluang ini untuk mempelajari al-Quran dan hadis secara mendalam.


“Dengan pemahaman yang lebih mendalam, ia akan meningkatkan nilai intelek dan akan menjadi aset kepada anda apabila kembali berkhidmat kepada negara,” katanya.


Pada majlis itu, Hajiji turut menyaksikan penyerahan RM10,000 untuk membeli buku di Perpustakaan Wisma Yayasan Sabah di sini daripada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).


Selain itu turut disumbangkan hadrah bernilai RM4,000 daripada Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) serta komputer kepada Persatuan Pelajar Mesir daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI).


Sebelum rombongan Ketua Menteri berangkat menunaikan umrah ke Mekah, beliau dan isteri Datin Seri Panglima Juliah Salag  turut berkesempatan minum pagi bersama pelajar Sabah.


Turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Safar Untong dan Pengarah Yayasan Sabah Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar.


Pada 16 Mac lepas, Hajiji turut melawat Ekspo & Persidangan Keselamatan Maklumat Teluk (GISEC) di Pusat Dagangan Dunia Dubai.
Lebih 200 pelajar Sabah kini sedang menuntut di Mesir, Jordan dan Arab Saudi.

Siti Aisyah Narudin