Home » RM70.6 juta naik taraf Jalan Lok Kawi–Kinarut atasi kesesakan, tingkat keselamatan pengguna
Berita GRS Politik

RM70.6 juta naik taraf Jalan Lok Kawi–Kinarut atasi kesesakan, tingkat keselamatan pengguna

TAKLIMAT PROJEK: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, mendengar taklimat mengenai Projek Naik Taraf Jalan Lok Kawi dari Bulatan Sabindo ke SMK Kinarut sempena Majlis Pecah Tanah projek berkenaan di WSG Kinarut Show Gallery, Papar.

PAPAR:Projek menaik taraf Jalan Lok Kawi dari Bulatan Sabindo ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kinarut bernilai RM70.6 juta dijangka menjadi penyelesaian jangka panjang kepada masalah kesesakan lalu lintas serta meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya di Koridor Lok Kawi–Pengalat–Papar yang semakin pesat membangun.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata projek yang dilaksanakan menerusi Kementerian Kerja Raya (KKR) itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh jaringan infrastruktur jalan raya di Sabah.

Beliau berkata, Koridor Lok Kawi–Pengalat–Papar kini berkembang pesat dengan pertambahan kawasan perumahan, institusi pendidikan, premis kerajaan dan destinasi pelancongan, sekali gus meningkatkan jumlah kenderaan sehingga menyebabkan kesesakan, terutama pada waktu puncak.

“Sebagai kerajaan, kita sentiasa berusaha merancang dan melaksanakan pembangunan yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat serta meningkatkan kesejahteraan mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Naik Taraf Jalan Lok Kawi dari Bulatan Sabindo ke SMK Kinarut di WSG Kinarut Show Gallery, di sini, hari ini.

PECAH TANAH: Hajiji menyempurnakan gimik Majlis Pecah Tanah Projek Naik Taraf Jalan Lok Kawi dari Bulatan Sabindo ke SMK Kinarut bernilai RM70.6 juta, yang dijangka mengurangkan kesesakan lalu lintas serta meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.

Hajiji berkata, projek sepanjang 1.3 kilometer itu melibatkan penaiktarafan jalan daripada dua lorong kepada empat lorong dua hala, sekali gus meningkatkan kapasiti laluan dan melancarkan aliran trafik.

Menurut beliau, skop projek bukan hanya tertumpu kepada pelebaran jalan, malah turut memberi penekanan kepada aspek keselamatan dan kemudahan pengguna.

“Antara kemudahan yang akan disediakan ialah jejantas pejalan kaki, laluan berbumbung ke sekolah, hentian bas serta tempat perlindungan motosikal bagi meningkatkan keselamatan murid, pejalan kaki dan pengguna jalan raya,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri akan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam urusan pengambilan tanah serta pengalihan utiliti bagi memastikan projek dapat dilaksanakan mengikut jadual.

Beliau turut mengingatkan semua jabatan dan agensi utiliti yang terbabit supaya bertindak segera menyelesaikan sebarang isu teknikal bagi mengelakkan kelewatan pelaksanaan.

PEMBANGUNAN INFRASTRUKTUR: Hajiji bersama tetamu kenamaan merakamkan gambar kenangan selepas Majlis Pecah Tanah Projek Naik Taraf Jalan Lok Kawi dari Bulatan Sabindo ke SMK Kinarut di WSG Kinarut Show Gallery, Papar.

“Kita tidak mahu kerenah birokrasi menjadi penghalang kepada pelaksanaan projek yang amat penting ini. Kerjasama erat antara agensi Persekutuan dan negeri perlu terus diperkukuhkan bagi memastikan projek ini berjaya disiapkan mengikut perancangan,” katanya.

Hajiji berkata, pembangunan infrastruktur jalan raya yang moden, cekap dan selamat merupakan pemangkin kepada pertumbuhan sosioekonomi, selain berupaya merangsang pelaburan serta memperkukuh sektor pelancongan negeri.

Beliau yakin projek itu bukan sahaja akan mengurangkan masa perjalanan dan meningkatkan kesalinghubungan, malah menjadi pemacu kepada pertumbuhan ekonomi di Papar selaras dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Menurutnya, Papar kini sedang melalui fasa pembangunan yang memberangsangkan hasil pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur dan komersial, selain berpotensi muncul sebagai lokasi persinggahan utama pelawat dari Brunei dan Sarawak apabila Lebuhraya Pan Borneo siap sepenuhnya kelak.

Pada majlis itu, Hajiji turut mengumumkan kelulusan Projek Jambatan Papar Ke-2 serta Projek Kerja Kecemasan Penambakan Batu dan Tanah di Sepanjang Tebing Sungai Intake Kogopon, termasuk kerja-kerja perlindungan tebing sungai yang dipohon oleh Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali, bagi meningkatkan keselamatan serta kesejahteraan penduduk setempat.