KOTA KINABALU:Rakyat Sabah diseru agar terus mensyukuri nikmat keamanan dan perpaduan yang menjadi asas kepada keharmonian masyarakat serta kemajuan negeri.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata keamanan yang dinikmati selama ini membolehkan rakyat pelbagai kaum dan agama hidup dalam suasana harmoni, saling menghormati serta bekerjasama membangunkan negeri.
Beliau berkata, keadaan itu turut membuka ruang kepada generasi muda mendapatkan pendidikan, rumah-rumah ibadat terus dimakmurkan dan ekonomi negeri berkembang demi kesejahteraan rakyat.
“Kita wajib mensyukuri nikmat yang Allah SWT kurniakan kepada Malaysia, khususnya Sabah.
“Kita masih menikmati keamanan dan perpaduan. Anak-anak masih dapat menuntut ilmu, rumah-rumah ibadat terus dimakmurkan, masyarakat hidup saling menghormati dan ekonomi terus bergerak membina harapan,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif, pada Program Wacana Pemikir Peringkat Negeri Sabah 2026 di Wisma MUIS, di sini, Sabtu.
Turut hadir Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Samad Jambri, dan Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), Datuk Sapawi Ahmad.
Hajiji berkata, keamanan yang dinikmati hari ini bukan hadir dengan sendirinya, sebaliknya hasil usaha berterusan Kerajaan MADANI dan Kerajaan Negeri dalam memelihara kestabilan politik, memperkukuh ekonomi serta menjaga kebajikan rakyat.
Menurut beliau, walaupun pelbagai cabaran masih perlu dihadapi, keamanan dan perpaduan yang dikecapi ketika ini merupakan nikmat yang amat bernilai dan perlu terus dipelihara bersama.
Beliau berkata, dunia kini sedang berdepan pelbagai cabaran termasuk ketidaktentuan geopolitik, konflik bersenjata, tekanan ekonomi, inflasi serta bencana kemanusiaan yang memberi kesan kepada kehidupan masyarakat di banyak negara.
“Sesungguhnya semua ini adalah ujian daripada Allah SWT dan ujian itu hadir dalam pelbagai bentuk,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh rakyat Sabah agar terus memperkukuh perpaduan, memelihara keharmonian serta bersama-sama menyumbang kepada pembangunan negeri demi masa depan yang lebih makmur dan sejahtera.

























Add Comment