Home » Pelabuhan Tawau diperkasa dengan dua kren baharu bernilai RM70 juta
Berita GRS Politik

Pelabuhan Tawau diperkasa dengan dua kren baharu bernilai RM70 juta

PERASMIAN: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bersama Timbalan Ketua Menteri III Datuk Ewon Benedick, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zainudin Aman dan Pengerusi Suria Capital Holdings Berhad Datuk Seri Panglima Abd Rahman Dahlan merakamkan gambar kenangan selepas Majlis Perasmian Kren Baharu Pelabuhan Tawau, hari ini.

TAWAU:Pelabuhan Tawau terus diperkukuh sebagai hab maritim utama di Pantai Timur Sabah menerusi pemerolehan dua kren dermaga (quay crane) baharu bernilai RM70 juta, yang dijangka meningkatkan kecekapan pengendalian kargo serta memperkukuh daya saing sektor perdagangan dan logistik negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata pelaburan menerusi Sabah Ports Sdn Bhd (SPSB) itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memodenkan infrastruktur pelabuhan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi Sabah.

Beliau berkata, apabila mula beroperasi kelak, kedua-dua kren tersebut akan meningkatkan produktiviti dan kebolehpercayaan operasi, di samping mempercepatkan proses pengendalian kargo di Pelabuhan Tawau.

“Pemerolehan kren baharu ini akan mempercepatkan tempoh pusingan kapal, mengurangkan masa menunggu serta meningkatkan keupayaan pelabuhan mengendalikan kapal yang lebih besar dan jumlah kargo yang semakin meningkat.

“Ini merupakan pelaburan strategik untuk memastikan sistem pelabuhan Sabah terus cekap, moden dan mampu memenuhi keperluan perdagangan pada masa hadapan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Kren Baharu Pelabuhan Tawau, di sini, hari ini.

Hajiji berkata, sistem pelabuhan yang cekap dan berdaya harap amat penting dalam menyokong pertumbuhan sektor utama, khususnya industri berorientasikan eksport yang menjadi antara penyumbang penting kepada ekonomi negeri.

Menurut beliau, peningkatan kapasiti Pelabuhan Tawau juga akan memperkukuh hubungan perdagangan Sabah dengan pasaran domestik dan serantau.

“Pelabuhan Tawau memainkan peranan penting sebagai pintu masuk maritim utama di Pantai Timur Sabah. Penaiktarafan ini akan memastikan keperluan perdagangan dan logistik yang semakin berkembang dapat dipenuhi dengan lebih berkesan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Suria Capital Holdings Berhad, Datuk Seri Panglima Abd Rahman Dahlan, berkata pelaburan RM70 juta itu mencerminkan komitmen jangka panjang syarikat dalam memperkukuh infrastruktur strategik negeri.

Beliau berkata, Pelabuhan Tawau mempunyai peranan penting dalam menyokong perdagangan, pembangunan industri serta hubungan ekonomi serantau di Pantai Timur Sabah.

“Pelaburan ini akan memastikan pelabuhan dilengkapi dengan kemudahan dan peralatan moden bagi memenuhi permintaan perdagangan masa hadapan, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi Tawau dan kawasan sekitarnya,” katanya.

Pengarah Urusan Kumpulan Suria Capital Holdings Berhad merangkap Sabah Ports Sdn Bhd, Datuk Ahmad Rizal Dahli, berkata pemerolehan dua kren berkenaan merupakan sebahagian daripada pelan pemodenan berterusan Pelabuhan Tawau.

Menurut beliau, kren baharu itu dijangka meningkatkan kecekapan operasi, memperkukuh kebolehpercayaan perkhidmatan serta menambah baik pengalaman pengguna pelabuhan.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Ewon Benedick; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman; serta Pengerusi Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah, Datuk Donald Mojuntin.