PAPAR: Ahli Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) diingatkan supaya tidak menjadikan perbezaan politik sebagai punca permusuhan, sebaliknya terus membina persahabatan dan hubungan baik dengan semua pihak.
Ketua Penaja Gagasan Rakyat Bahagian Papar, Dato’ Sri Ghulam Haidar Khan Bahadar, berkata hubungan persahabatan perlu dipupuk bukan sahaja dalam kalangan parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS), malah dengan mereka yang berada di luar jajaran politik gabungan itu.
Menurutnya, perbezaan pandangan dan persaingan merupakan lumrah dalam politik, namun matlamat akhirnya tetap sama — iaitu berkhidmat serta membela kepentingan rakyat.
“Secara peribadi, sejak dulu lagi saya sentiasa konsisten bahawa dalam perjuangan politik, kita tidak boleh bermusuhan.
“Dalam berpolitik, jangan terlalu pandai mencari musuh sehingga lupa mencari sahabat. Hari ini kita bertikam lidah di pentas politik, esok mungkin kita duduk semeja minum kopi.
“Yang berubah ialah tempat duduk, bukan tanggungjawab kita kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan dan Pengumuman Ahli Jawatankuasa Penaja Gagasan Rakyat Bahagian Papar, di sini, Ahad.
Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup merangkap Setiausaha Agung GRS dan Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali; Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar merangkap ADUN Limbahau dan Timbalan Ketua Penaja Gagasan Rakyat Bahagian Papar, Datuk Juil Nuatim; serta ADUN Pantai Manis merangkap Naib Ketua Penaja Bahagian Papar, Datuk Haji Pg Saifudin Pg Tahir.
Ghulam, yang juga Pengarah Yayasan Sabah, berkata politik bersifat dinamik dan persaingan antara parti tidak seharusnya memutuskan hubungan yang telah terjalin.
Beliau berkata, apabila tiba masanya untuk bersaing dalam pilihan raya, pertembungan dengan rakan atau sahabat daripada parti berlainan perlu dihadapi secara matang berlandaskan prinsip demokrasi.
“Jika kita terpaksa bersaing dengan rakan dan sahabat sendiri daripada lambang yang berbeza, maka kita akan hadapinya atas prinsip demokrasi dan hakikat bahawa politik itu dinamik,” katanya.
Ghulam berkata, pendiriannya sejak dahulu adalah untuk terus menjalin hubungan baik dengan semua pihak walaupun mempunyai pandangan atau aliran politik berbeza.
“Ini kerana kita tidak mahu membakar jambatan hanya semata-mata kerana perbezaan politik.
“Kita boleh berbeza warna bendera, tetapi jangan sampai kita lupa bahawa langit yang kita pandang tetap langit yang sama.
“Kita boleh berbeza lambang, tetapi jangan sampai lambang itu lebih besar daripada amanah,” katanya.

























Add Comment