Home » Bekas Timbalan Presiden STAR Ellron sertai Gagasan Rakyat Pensiangan
Berita GRS • Politik

Bekas Timbalan Presiden STAR Ellron sertai Gagasan Rakyat Pensiangan

PERKUKUH JENTERA: Bekas Timbalan Presiden STAR, Datuk Ellron Alfred Angin bersama bekas pemimpin dan ahli STAR dari Sook, Nabawan dan Tulid menyerahkan borang keahlian Gagasan Rakyat kepada Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Pensiangan, Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin, di Keningau, Khamis.

KENINGAU: Bekas Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Ellron Alfred Angin, bersama beberapa bekas pemimpin dan ahli parti itu dari Sook, Nabawan dan Tulid menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) — sekali gus menambah kekuatan parti berkenaan di Bahagian Pensiangan.

Ellron, yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan Sabah, menyerahkan borang keahliannya kepada Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Pensiangan, Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin, selepas Mesyuarat Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian Gagasan Rakyat Pensiangan di Hotel Sento, di sini, Khamis.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai AJK Gagasan Rakyat Bahagian Pensiangan.

PELANTIKAN: Abdul Ghani menyampaikan surat pelantikan AJK Gagasan Rakyat Bahagian Pensiangan kepada Ellron selepas mesyuarat bahagian berkenaan di Hotel Sento, Keningau.

Abdul Ghani berkata, perubahan struktur pentadbiran parti daripada peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada Parlimen membawa cabaran baharu dalam pengurusan organisasi, namun pada masa sama membuka ruang untuk memperkemas gerak kerja dan persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Beliau berkata, Gagasan Rakyat Bahagian Pensiangan turut menubuhkan Jawatankuasa Penyelaras di peringkat DUN sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh struktur dan penyelarasan jentera parti.

“Pelantikan AJK Penaja turut mengambil kira kedudukan DUN dan setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM).

“Penubuhan cawangan Gagasan Rakyat pula hendaklah berasaskan PDM di setiap kawasan berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Ghani mengalu-alukan penyertaan Ellron bersama bekas pemimpin dan ahli STAR dari Sook, Nabawan dan Tulid ke dalam Gagasan Rakyat.

Beliau berkata, penyertaan berkenaan menambah kekuatan organisasi Gagasan Rakyat Bahagian Pensiangan, khususnya dalam usaha memperkemas struktur serta gerak kerja parti di kawasan berkenaan menjelang PRU16.