KOTA KINABALU: Malaysia dijangka berdepan kekurangan kira-kira 13,000 pakar perubatan menjelang 2030, sekali gus menuntut langkah lebih menyeluruh bagi memperkukuh pengambilan dan pengekalan tenaga profesional dalam sektor kesihatan.
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Sabah, Datuk Masiung Banah, berkata isu kekurangan doktor dan pakar perubatan memerlukan perhatian serius — termasuk penambahbaikan terhadap struktur kerjaya, imbuhan dan peluang kemajuan dalam perkhidmatan kesihatan awam.
Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga berdepan persaingan daripada sektor swasta dan peluang pekerjaan di luar negara yang menawarkan pakej perkhidmatan lebih menarik kepada tenaga perubatan.
“Kerajaan perlu mempertimbangkan sistem tawaran jawatan tetap kepada doktor kerajaan termasuk doktor pakar, selain menyediakan struktur gaji yang lebih kompetitif dan konsisten.
“Ini penting bagi memastikan kita bukan sahaja mampu melahirkan tenaga perubatan, tetapi juga mengekalkan mereka untuk terus berkhidmat dalam sistem kesihatan negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Masiung berkata, unjuran MBSB Research menunjukkan Malaysia berdepan jurang kira-kira 13,000 pakar perubatan menjelang 2030 sekiranya kadar latihan dan pengambilan semasa tidak dapat memenuhi keperluan tenaga kerja.
Menurutnya, cabaran berkenaan perlu diberi perhatian khusus di Sabah dan Sarawak yang turut berdepan isu penempatan serta pengekalan tenaga perubatan.
Beliau berkata, kebimbangan mengenai kekurangan doktor di Sabah turut dibangkitkan Pengerusi Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Cawangan Sabah, Dr. Brandon Patrick Senagang, baru-baru ini.
“Antara cabaran yang perlu ditangani ialah bagaimana kita memastikan doktor tempatan dan graduan perubatan melihat perkhidmatan dalam negara sebagai pilihan kerjaya yang mempunyai masa depan dan peluang kemajuan yang jelas.
“Pada masa sama, tawaran gaji lebih lumayan dan nilai mata wang lebih tinggi di beberapa negara turut menjadi antara faktor yang menarik tenaga perubatan kita untuk berkhidmat di luar negara,” katanya.
Masiung berkata, beliau juga pernah menerima maklum balas daripada doktor Malaysia yang berkhidmat di Singapura mengenai faktor struktur perkhidmatan, imbuhan dan fleksibiliti pekerjaan dalam membuat keputusan berkaitan kerjaya mereka.
Menurutnya, pembangunan infrastruktur kesihatan termasuk pembinaan dan penaiktarafan hospital perlu bergerak seiring dengan usaha menyediakan tenaga perubatan mencukupi, khususnya doktor pakar.
Beliau berkata, cabaran tenaga kerja kesihatan bukan hanya membabitkan doktor, malah turut merangkumi usaha mengekalkan jururawat berpengalaman berikutan persaingan mendapatkan tenaga kerja antara sektor awam dan swasta serta peluang pekerjaan di luar negara.
“Masalah yang perlu diberi perhatian bukan sekadar jumlah graduan perubatan, tetapi bagaimana kita melahirkan pakar yang mencukupi dan mengekalkan tenaga kesihatan berpengalaman dalam sistem hospital kerajaan,” katanya.
Masiung, yang juga Pengerusi Kumpulan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO), berharap isu kekurangan doktor dan pakar perubatan diberi perhatian dalam Belanjawan negara yang dijadual dibentangkan hujung tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut itu berkata, beliau juga bercadang membawa isu kekurangan pakar perubatan, khususnya di Sabah, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang dijadual berlangsung awal November ini.

























Add Comment