KOTA MARUDU:Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) Kota Marudu melantik Timbalan Pengerusi POIC Sabah, Dato’ Dr. Janathan Kandok, sebagai penaung baharu persatuan itu — bagi memperkukuh usaha memartabatkan seni silat sebagai warisan budaya serta wadah pembentukan jati diri dan semangat patriotisme.
Pelantikan berkenaan dimaklumkan semasa kunjungan hormat barisan kepimpinan PESAKA Kota Marudu kepada beliau, baru-baru ini.
Rombongan itu diketuai Presiden PESAKA Kota Marudu, Ajim Hajat, bersama Penasihat persatuan, Dato’ Mordin Omar, serta beberapa ahli persatuan.
Mengalu-alukan kunjungan tersebut, Janathan merakamkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk menggalas tanggungjawab sebagai penaung persatuan berkenaan.
Janathan berkata seni silat bukan sekadar seni mempertahankan diri, sebaliknya turut mempunyai nilai budaya, disiplin, kerohanian dan pembentukan sahsiah yang wajar dipelihara serta diwariskan kepada generasi akan datang.
Menurutnya, seni silat merangkumi aspek pertahanan fizikal dan dalaman — termasuk nilai kerohanian serta unsur keagamaan yang menjadi sebahagian daripada tradisi sesetengah aliran persilatan.
Beliau berkata kurangnya pemahaman terhadap aspek berkenaan kadangkala boleh menimbulkan salah tanggapan masyarakat terhadap seni mempertahankan diri itu.
Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan memperluas kefahaman masyarakat mengenai nilai dan falsafah seni silat, khususnya dalam membentuk generasi muda yang berdisiplin, berkeyakinan dan mempunyai jati diri yang kukuh.
Janathan turut menyifatkan seni silat sebagai sebahagian daripada warisan bangsa yang mempunyai nilai sejarah dalam perjuangan mempertahankan kedaulatan negara.
Menurutnya, seni warisan itu wajar terus diperkasakan sebagai platform untuk menyemai semangat patriotisme, perpaduan dan kecintaan terhadap negara dalam kalangan masyarakat.
Sementara itu, PESAKA Kota Marudu berharap pelantikan Janathan sebagai penaung baharu dapat memperkukuh pembangunan persatuan, memperluas penyertaan masyarakat serta meningkatkan usaha memartabatkan seni silat di peringkat daerah dan negeri.

























Add Comment