Home » Belanjawan 2027 sediakan penyelesaian masalah air, elektrik, jalan raya
Berita GRS • Politik

Belanjawan 2027 sediakan penyelesaian masalah air, elektrik, jalan raya

PESTA CAHAYA: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, bersama isterinya, Datin Seri Panglima Juliah Salag, menyempurnakan acara memotong kek sempena sambutan Deepavali — diiringi Presiden Dewan Perniagaan India Sabah, Datuk V. Jothi (empat dari kiri), serta tetamu kehormat lain di Magellan Sutera, Kota Kinabalu, Ahad.

KOTA KINABALU:Belanjawan Negeri Sabah 2027 yang dijadual dibentangkan pada 4 Disember dijangka membawa khabar baik kepada rakyat, dengan usaha menangani masalah bekalan air, elektrik dan jalan raya antara keutamaan Kerajaan Negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata belanjawan berkenaan dirangka bagi memperkukuh pembangunan negeri, selain menangani pelbagai cabaran infrastruktur asas yang sekian lama dihadapi rakyat Sabah.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan perincian belanjawan itu sebelum pembentangan rasmi — namun memberikan jaminan kepentingan dan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan kerajaan.

“Saya tidak mahu mendedahkan terlalu banyak perkara sebelum belanjawan itu dibentangkan, tetapi saya ingin menegaskan bahawa ia merupakan belanjawan yang baik untuk rakyat dan pembangunan negeri.

“Belanjawan ini akan menyediakan penyelesaian kepada masalah yang kita hadapi di Sabah, termasuk bekalan air, elektrik dan jalan raya,” katanya ketika ditemui pemberita pada sambutan Deepavali anjuran bersama Kerajaan Negeri Sabah dan Dewan Perniagaan India Sabah (SICC) di Magellan Sutera, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Hajiji berharap sambutan Deepavali atau Pesta Cahaya terus membawa kebahagiaan, kesejahteraan dan keberkatan kepada masyarakat India serta seluruh rakyat Sabah, tanpa mengira kaum dan agama.

Beliau berkata tradisi meraikan perayaan bersama-sama perlu terus dipelihara kerana mencerminkan semangat perpaduan, toleransi dan keharmonian yang menjadi kekuatan masyarakat berbilang kaum di Sabah.

“Inilah semangat Malaysia sebenar yang kita mahu lihat — sebuah masyarakat berbilang kaum yang meraikan perayaan bersama-sama.

“Marilah kita terus mempertahankan semangat perpaduan ini demi kebaikan bersama,” katanya.

Terdahulu, Hajiji bersama isterinya, Datin Seri Panglima Juliah Salag, menyempurnakan acara memotong kek sempena sambutan Deepavali, diiringi Presiden SICC, Datuk V. Jothi, serta tetamu kehormat lain.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan daripada SICC kepada Persatuan Orang Buta Sabah dan Jireh Home di Tuaran.

Sambutan Deepavali berkenaan dihadiri lebih 1,400 tetamu daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Turut hadir Timbalan-Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam dan Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun; barisan Menteri Kabinet Negeri; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman; wakil rakyat serta pemimpin masyarakat.

About the author

Elle ABT

Add Comment

Click here to post a comment