Home » Sarapin ketuai lawatan kebajikan, santuni keluarga mangsa kebakaran
Berita Gagasan Rakyat • Politik

Sarapin ketuai lawatan kebajikan, santuni keluarga mangsa kebakaran

SUMBANGAN: Sarapin menyampaikan sumbangan wang tunai, makanan dan pakaian kepada keluarga Azwan Nayan di Kampung Langkon Baru selepas musnah dalam kebakaran.

KOTA MARUDU:Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Kota Marudu tampil menghulurkan bantuan kepada sebuah keluarga yang kehilangan tempat tinggal dan harta benda akibat kebakaran di Kampung Langkon Baru, di sini.

Lawatan kebajikan pada Selasa itu diketuai Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Kota Marudu, Sarapin Magana, bersama rombongan Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian, bagi menyantuni keluarga Azwan Nayan yang terjejas dalam kejadian berkenaan.

Rombongan menyampaikan sumbangan wang tunai, makanan dan pakaian bagi membantu meringankan beban keluarga terbabit — khususnya dalam memenuhi keperluan asas selepas kehilangan tempat tinggal.

Sarapin berkata pihaknya amat bersimpati dengan nasib keluarga berkenaan, yang terpaksa berdepan keadaan sukar susulan musibah itu.

“Musibah seperti ini pastinya memberi kesan besar kepada kehidupan seisi keluarga. Kami berharap sumbangan yang disampaikan dapat sedikit sebanyak membantu mereka menghadapi keadaan sukar ini sementara menguruskan keperluan harian,” katanya.

Beliau turut berharap keluarga berkenaan mendapat perhatian dan pertimbangan sewajarnya daripada Kerajaan Negeri, termasuk kemungkinan bantuan perumahan menerusi inisiatif Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) — tertakluk kepada penilaian serta syarat kelayakan yang ditetapkan.

Menurutnya, keprihatinan dan kerjasama pelbagai pihak amat penting bagi memastikan keluarga yang ditimpa musibah mendapat sokongan sewajarnya untuk membina semula kehidupan.

Turut menyertai lawatan itu Pengerusi Tetap Bahagian, Dato’ Mordin Omar; Setiausaha Bahagian, Lagason Gampong; Naib Ketua Pemuda, Clement Sarapin; serta isteri Ketua Bahagian, Sundiong Oduzan. Hadir sama AJK Bahagian — OKK Makinsos Nawai, Datin Justina Tuyundoh, Jaburah Dogion, Singan Lingkubang, Syntianna Laura Jubil, Raimun Mangantal, Masikong Maluk, Jimin Masaya, Datu Abdul Lali Abah dan Junain Talib.