Home » GRS bersatu, GRS menang: Hajiji tiup semangat jentera
Berita GRS Politik

GRS bersatu, GRS menang: Hajiji tiup semangat jentera

Barisan kepimpinan GRS berdiri teguh bersama Hajiji sebagai simbol kesatuan dan kesiapsiagaan menghadapi PRN17.

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yakin mampu meraih kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17), hasil kesatuan, persiapan rapi dan semangat juang jentera di semua peringkat.

Ketua Menteri merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, pelancaran Jentera Pilihan Raya GRS menjadi medan penting untuk menyelaraskan strategi dan memperkukuh kekuatan gabungan menjelang PRN17.

“Jika kita mempunyai jentera yang terlatih, disiplin dan bersatu hati, Insya-Allah GRS akan menang dalam PRN Sabah ke-17,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran jentera di sini, semalam.

Beliau mengingatkan semua jentera untuk tidak leka, sebaliknya bekerja lebih gigih bagi memastikan Sabah terus dipimpin kerajaan yang stabil dan berwibawa.

Menurut Hajiji, semangat perjuangan perlu diperkasa kerana kekuatan GRS bukan hanya pada dasar, tetapi terletak pada perpaduan dan keikhlasan pendokongnya.

“Walaupun dua parti memilih untuk keluar, kekuatan rumah kita tidak runtuh. Peristiwa ‘Langkah Kinabalu’ mengajar kita erti keteguhan. Rumah kita sudah diuji, tetapi rumah kita tidak tumbang. Rumah kita, rumah Gabungan Rakyat Sabah!” tegasnya.

Beliau menambah, GRS merupakan simbol kerjasama parti-parti tempatan terbesar di Sabah yang bersatu memperjuangkan hak negeri dalam kerangka Persekutuan Malaysia.

Hajiji berkata, PRN kali ini bukan sekadar perebutan kuasa, tetapi pertarungan menentukan masa depan Sabah.

“Kemenangan GRS akan memberi suara lebih kuat kepada Sabah dalam menuntut hak negeri serta memastikan dasar pembangunan berterusan. Jika kita gagal, rakyat dan negeri ini akan rugi,” katanya.

Mengulas cabaran politik masa kini, beliau menggesa jentera untuk menguasai media sosial dalam menangkis fitnah dan menyampaikan fakta tepat kepada rakyat.

“Jika mereka menyerang dengan kebohongan, kita jawab dengan kebenaran dan fakta. PRN kali ini bukan hanya di lapangan, tetapi juga di ruang maya,” katanya.

Beliau yakin bahawa selagi jentera GRS kekal bersatu, berstrategi dan pantas bertindak, keyakinan rakyat akan terus bersama gabungan itu.

“Gunung yang tinggi tetap kita daki, lautan yang dalam tetap kita renangi. Rumah kita, kita yang jaga , kalau bukan kita, siapa lagi,” katanya penuh semangat.

— TAMAT