Home » Hajiji rintis pembangunan ekonomi biru
Politik Sudut Pandangan

Hajiji rintis pembangunan ekonomi biru

ALBUM: Hajiji bergambar bersama Ahli MEBS selepas mempengerusikan mesyuarat pertamanya pada 16 Jun lepas.

Sabah memiliki potensi besar dalam sektor berasaskan laut dengan garis pantai sepanjang lebih 2,383 km dan kawasan perairan yang luas.

Namun, potensi ini belum dimanfaatkan secara optimum dalam kerangka pembangunan ekonomi negeri sebelum ini.

Menyedari hakikat tersebut, Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, telah memperkenalkan Dasar Ekonomi Biru Sabah sebagai satu inisiatif strategik untuk mempelbagaikan struktur ekonomi, menjana pertumbuhan baharu, dan memastikan pembangunan yang mampan serta inklusif.

Dasar ini bertujuan untuk memanfaatkan sektor-sektor marin seperti marikultur, bioteknologi laut, tenaga boleh diperbaharui, pelabuhan, dan pemprosesan hasil laut bernilai tinggi.

Pelaksanaan ekonomi biru juga menyokong agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dan selari dengan sasaran pembangunan mampan (SDG) di samping menyumbang secara langsung kepada kerangka pembangunan nasional menerusi Rancangan Malaysia Ke‑13 (RMK13) yang dibentangkan minggu lepas.

Ekonomi biru Sabah yang dicetuskan oleh Hajiji itu merupakan satu anjakan paradigma pembangunan baharu yang memanfaatkan khazanah laut negeri secara lestari.

Sabah merupakan negeri pertama di Malaysia memperkenalkan Dasar Ekonomi Biru, sekali gus menjadikannya batu loncatan kepada pertumbuhan inklusif dan mampan.

Ia bakal mencipta peluang pekerjaan baharu kepada penduduk tempatan khususnya melalui pelabuhan, marikultur, tenaga laut, bioteknologi marin dan industri hiliran berasaskan sumber laut.

Baru-baru ini, Kerajaan Negeri mengumumkan penubuhan secara rasmi Majlis Ekonomi Biru Sabah (MEBS) sebagai platform penyelarasan dan pelaksanaan dasar strategik ekonomi biru negeri.

Ia diluluskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri Sabah Siri 10 Tahun 2025, dan mesyuarat sulungnya dipengerusikan oleh Hajiji di Menara Kinabalu pada 16 Jun lepas.

 Anwar ketika berucap dalam perasmian Persidangan SIBEC 2024. - Foto laman media sosial rasmi Facebook Perdana Menteri.
AMANAT: Anwar ketika berucap dalam perasmian Persidangan SIBEC 2024. – Foto laman media sosial rasmi Facebook Perdana Menteri.

Hajiji berkata MEBS diwujudkan sebagai usaha strategik kerajaan negeri memastikan pembangunan sektor ekonomi biru Sabah dilaksanakan secara tersusun, bersepadu dan berimpak tinggi selaras dengan aspirasi Hala Tuju SMJ.

“Melalui MEBS, kita akan menyelaras dasar-dasar utama, meluluskan program berimpak tinggi serta memantau pelaksanaan Kerangka Dasar dan Strategi Ekonomi Biru.

“Ia merupakan pendekatan bersepadu yang dapat merangsang pertumbuhan ekonomi yang mampan, inklusif dan berdaya saing,” katanya.

Menurutnya, MEBS juga akan memacu pemindahan teknologi dan inovasi dalam sektor maritim, seiring keperluan pembangunan ekonomi moden yang menekankan kelestarian dan penerapan teknologi canggih.

Katanya, penubuhan MEBS merupakan langkah penting dalam memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan, akademia, industri dan komuniti dalam usaha menjadikan Sabah sebagai peneraju utama ekonomi biru di rantau Asia Tenggara.

“Ia mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri untuk mengangkat potensi laut Sabah secara optimum, memperluas pelaburan dan menjamin kesejahteraan rakyat menerusi pembangunan yang lestari dan tahan lasak,” katanya.

Hajiji berkata, dengan langkah ini, Sabah kini berada di landasan yang lebih kukuh dalam membina masa depan yang sejahtera berasaskan kemakmuran laut dan kekuatan ekonomi maritim.

Dalam mesyuarat pertama itu, Hajiji turut menyempurnakan penyerahan watikah pelantikan kepada lapan Ahli MEBS yang terdiri daripada barisan pimpinan tertinggi negeri.

 Model ekonomi inovatif yang menyokong penggunaan sumber marin secara mampan, membangun industri hiliran berasaskan sumber laut. - Gambar hiasan.
EKONOMI BIRU: Model ekonomi inovatif yang menyokong penggunaan sumber marin secara mampan, membangun industri hiliran berasaskan sumber laut. – Gambar hiasan.

Dalam  pada itu, Sabah dijangka mengeluarkan hasil marin RM3.25 bilion setahun menerusi ekonomi biru.

Pengeluaran hasil laut merupakan antara 14 komponen ekonomi biru yang boleh diterokai termasuk tenaga lautan boleh baharu, karbon biru, pelancongan, pengangkutan maritim dan bioteknologi marin, antara lain.

Dijangkakan, sebanyak 491,000 tan hasil marin bernilai RM3.25 bilion setahun, seperti ikan dan udang, dapat dikeluarkan oleh negeri ini menerusi ekonomi biru Sabah.

Antara 14 komponen lain termasuk tenaga lautan boleh baharu, karbon biru, pelancongan dan bioteknologi marin. Projek Teknologi Penukaran Tenaga Haba Lautan (OTEC) turut dirancang sepanjang 500km pesisir pantai dan dijangka menjana 20,000MW tenaga hijau.

Kawasan di perairan Tawau antara dikenal pasti sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui menerusi projek OTEC itu.

Kesimpulannya, ekonomi biru bukan sekadar dasar ekonomi, tetapi juga simbol harapan baharu buat Sabah.

Dengan berpaksikan kepada sumber semula jadi yang kaya, kepimpinan berwawasan dan perancangan strategik yang teliti, Sabah kini berada di ambang perubahan besar.

Pepatah Melayu menyebut, “alah bisa tegal biasa”. Meskipun pelaksanaannya mencabar, tekad dan usaha berterusan pasti akan membuahkan hasil.

Maka, dasar ekonomi biru Sabah ini diharap menjadi mercu tanda zaman, menjulang negeri ke persada kemajuan dan kemakmuran berpanjangan.

*Datuk Lichong Angkui ialah seorang wartawan veteran Sabah.Beliau juga merupakan Ketua Pengarang Utusan Borneo. Penulisan ini berdasarkan pandangan beliau sebagai pemerhati politik yang berfikir di luar kotak.




About the author

Elle ABT

Add Comment

Click here to post a comment