DAERAH Kudat di utara Sabah kini bersedia memainkan peranan penting dalam landskap pembangunan baharu negeri menerusi pelaksanaan Dasar Ekonomi Biru yang diumumkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Dengan kedudukan geografi strategik, sumber perikanan yang melimpah dan kelebihan semula jadi sebagai kawasan pesisir, Kudat dikenal pasti sebagai lokasi perintis kepada transformasi ekonomi berasaskan laut di Sabah.
Difahamkan, kerajaan negeri melalui Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi Negeri giat melaksanakan perancangan awal bagi mewujudkan Blue Economy Industrial Park (BEIP) atau Taman Perindustrian Ekonomi Biru, di kawasan ini.
Projek mega berimpak tinggi itu dijangka membuka lembaran baharu kepada Kudat, bukan sahaja sebagai daerah pengeluaran hasil laut, tetapi juga sebagai hab pelaburan teknologi marin, tenaga boleh diperbaharui dan pemprosesan makanan laut bernilai tambah tinggi.
Menurut Hajiji, pemilihan Kudat dibuat berdasarkan kekuatan sumber alam semula jadi yang belum diterokai secara sistematik serta kesesuaian lokasi untuk tujuan logistik dan eksport.
Tambah beliau, pelabuhan Kudat juga akan ditambah baik sebagai salah satu pelabuhan satelit yang menyokong pertumbuhan sektor ekonomi biru negeri.
“Sudah sampai masanya Kudat tidak hanya dikenali kerana keindahan pantainya, tetapi juga sebagai pusat ekonomi masa depan Sabah,” katanya.
BEIP yang bakal dibangunkan di kawasan seluas lebih 500 ekar itu dijangka menjadi pemangkin kepada penciptaan ribuan pekerjaan baharu dalam pelbagai bidang termasuk bioteknologi marin, penternakan ikan laut dalam, tenaga laut dan pembangunan industri hiliran.
Projek ini turut dijangka menarik pelaburan swasta tempatan dan antarabangsa melebihi RM1 bilion dalam tempoh lima tahun pertama.
Kudat juga akan menjadi tapak utama untuk pembangunan teknologi tenaga laut seperti Penukaran Tenaga Haba Lautan (OTEC), sejajar dengan dasar Sabah sebagai peneraju tenaga boleh diperbaharui di Malaysia Timur.
Selain menjana tenaga bersih, teknologi ini juga berpotensi membekalkan air tawar kepada komuniti pesisir yang selama ini berdepan kekurangan infrastruktur asas.
Pendekatan ini memperlihatkan bagaimana pembangunan ekonomi dapat diseimbangkan dengan keperluan sosial dan kelestarian alam sekitar.
Dengan perancangan menyeluruh dan pelaksanaan yang berfasa, Kudat kini bersedia melangkah sebagai antara tonggak utama dalam pelaksanaan Ekonomi Biru Sabah.
Jika dimanfaatkan secara optimum, pembangunan di daerah ini bakal mencipta lonjakan baharu bukan sahaja kepada ekonomi tempatan tetapi juga mengangkat nama Sabah sebagai pelopor ekonomi biru di rantau ASEAN.
Yang penting, pembangunan BEIP di Kudat dijangka merancakkan rantaian nilai industri perikanan dan marikultur di negeri ini.

Selain menangani kebergantungan kepada eksport mentah, taman perindustrian ini bakal menjadi pusat pemprosesan, pembungkusan, dan pengedaran hasil laut ke pasaran antarabangsa.
Langkah ini selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk memperkukuh sektor hiliran sebagai penyumbang utama kepada pertumbuhan KDNK Sabah.
Secara keseluruhan, transformasi Kudat melalui dasar ekonomi biru bukan sahaja memperlihatkan kebijaksanaan perancangan kerajaan negeri, malah menggambarkan perubahan struktur ekonomi yang sedang berlaku di Sabah.
Usaha ini akan mengubah wajah Kudat daripada sebuah daerah luar bandar kepada pusat ekonomi strategik yang mampu menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan negeri.
Apa yang lebih penting, pembangunan ini turut dirangka untuk memberikan manfaat langsung kepada rakyat setempat tanpa mengorbankan sumber asli.
Dengan pendekatan inklusif yang menekankan penglibatan komuniti dan pemeliharaan alam sekitar, Kudat diharap menjadi model pembangunan lestari yang boleh dicontohi oleh daerah lain.


























Add Comment