PERHIMPUNAN Agung Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) pada 27 Julai lepas, menjadi titik tolak kebangkitan baharu buat parti itu menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) tidak lama lagi.
Bertemakan perpaduan dan kebangkitan, perhimpunan tersebut menyaksikan kehadiran ribuan perwakilan dan ahli dari seluruh pelusuk negeri, sekali gus mencerminkan komitmen tinggi terhadap agenda perjuangan Gagasan Rakyat.
Ucapan dasar Ketua Menteri selaku Presiden parti, Datuk Seri Panglima Hajiji Hj Noor sendiri mengangkat tema `Memperkukuh Muafakat, Menang Bersama Rakyat’. Ia digarap sebagai peta jalan politik parti itu di ambang pilihan raya.
Antara sorotan menarik perhimpunan itu adalah semangat luar biasa yang dizahirkan oleh para perwakilan, khususnya dalam mengangkat slogan `Rumah Kita, Kita Jaga; sebagai lambang perjuangan mempertahankan hak dan maruah rakyat Sabah.
Slogan itu kini bukan sahaja menjadi pegangan dalam naratif politik Gagasan Rakyat, malah telah meresap ke jiwa akar umbi sebagai satu bentuk tekad kolektif untuk menjaga negeri ini daripada pengaruh luar yang tidak selari dengan kepentingan Sabah.
Dalam sesi perbahasan, hampir kesemua perwakilan menyuarakan hasrat yang jelas — Gagasan Rakyat harus bertanding secara solo dalam PRN17 bagi menzahirkan kepercayaan penuh terhadap kekuatan dalaman parti.
Keputusan untuk bergerak solo bukan didorong oleh sikap angkuh, sebaliknya lahir daripada keyakinan terhadap kekuatan struktur, pemimpin dan jentera parti yang telah diperkukuhkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Walaupun semangat solo dikibarkan dengan penuh semangat, perwakilan juga menyatakan keterbukaan untuk menjalin kerjasama strategik dengan Pakatan Harapan (PH) sekiranya ia menguntungkan rakyat Sabah.
Ini menunjukkan kematangan politik dalam kalangan ahli Gagasan Rakyat — sebuah parti lokal yang tidak menolak semangat nasionalisme dan kepentingan negara secara keseluruhan.
Perwakilan menyedari bahawa realiti politik Malaysia memerlukan kebijaksanaan dalam memilih rakan strategik, namun mereka juga sepakat bahawa kedaulatan politik Sabah mesti diletakkan di tangan anak negeri sendiri.
Pendekatan ini menzahirkan identiti unik Gagasan Rakyat yang bukan sahaja berpaksikan lokaliti, tetapi juga mampu menyumbang kepada landskap nasional melalui kerjasama berhemah dengan parti-parti pusat.
Dalam kalangan ahli, nama Hajiji sentiasa disebut sebagai arkitek utama yang berjaya membawa parti ini ke mercu kejayaan pasca perubahan landskap politik pada 2020.
Malah, beliau dipuji sebagai pemimpin terbaik dalam dekad ini — seorang negarawan Sabah yang telah meletakkan asas pentadbiran yang stabil, inklusif dan berpaksikan kesejahteraan rakyat.
Perumpamaan paling menyentuh perasaan ialah apabila beliau digambarkan sebagai “lilin yang menerangi kegelapan politik” — metafora yang menggambarkan peranannya memulihkan ketidaktentuan dan ketegangan politik pasca pandemik COVID-19 di mana beliau diangkat sebagai Ketua Menteri.
Hajiji bukan sahaja berjaya membawa kestabilan politik, malah memperkenalkan dasar-dasar pembangunan inklusif serta memberi keutamaan kepada keperluan rakyat, menerusi ilhamnya memperkenalkan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Kepemimpinan beliau turut dihargai sebagai berhemah, merendah diri dan dekat dengan rakyat — ciri-ciri yang sukar ditemui dalam kepimpinan politik moden.
Di bawah pentadbiran Hajiji, Gagasan Rakyat berubah daripada hanya sebagai sebuah entiti politik kepada sebuah gerakan rakyat yang menyatukan pelbagai latar belakang dan etnik di Sabah.
Perhimpunan agung itu sendiri menjadi medan penyatuan dan semangat baharu, bukan hanya dalam kalangan ahli, tetapi juga dalam memperkukuhkan naratif bahawa Gagasan Rakyat bersedia menjadi parti tunggak dominan di Sabah.
Di akhir perhimpunan itu, laungan `Rumah Kita, Kita Jaga’, `Solo’ dan `Hidup Gagasan’ terus bergema dalam dewan, menandakan kesiapsiagaan parti untuk masuk ke gelanggang pilihan raya dengan strategi dan jentera yang telah dipersiapkan rapi.
Ketegasan perwakilan dan semangat akar umbi jelas menunjukkan bahawa Gagasan Rakyat bukan sahaja bersedia, malah sudah berada dalam mod peperangan politik secara total.
Kejayaan perhimpunan ini turut memperlihatkan struktur organisasi yang kini lebih terurus, dengan sayap-sayap parti memainkan peranan masing-masing secara efektif.
Jentera Wanita, Pemuda dan Beliawanis serta bahagian telah digerakkan dengan modul latihan pilihan raya serta program outreach bagi mendekati pengundi baharu dan kawasan yang dianggap masih kelabu.
Kekuatan ini jika digembleng secara kolektif, mampu merintis landskap PRN17 dan mengekalkan mandat Gagasan Rakyat sebagai parti pemerintah negeri Sabah.
Sekiranya semangat yang ditunjukkan dalam perhimpunan agung itu diterjemahkan dalam bentuk sokongan rakyat di peti undi, Gagasan Rakyat sudah berada di hadapan untuk memperoleh mandat kedua secara lebih kukuh dan menyeluruh.
Apa yang lebih penting, parti ini kini tampil sebagai suara tulen rakyat Sabah — bebas daripada kawalan pusat tetapi tetap matang dalam berpersekutuan.
PRN Sabah kini menjadi medan ujian sebenar buat Gagasan Rakyat, namun berdasarkan momentum dan kebangkitan akar umbi, kebangkitan ini bukan sahaja nyata — ia sedang mendekati kemenangan.
Semangat Gagasan Rakyat sudah bergelora bagi membawa Sabah mencipta sejarah baharu.


























Add Comment