Home » JaPen Sabah berjaya tingkatkan semangat patriotisme rakyat
Berita Gagasan Rakyat Politik

JaPen Sabah berjaya tingkatkan semangat patriotisme rakyat

TANDATANGAN: Nizam menandatangani Buku Kembara Merdeka.

TAWAU: Program JIWA Komuniti MADANI Merdeka yang dianjurkan Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Sabah dilihat mampu meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat di negeri ini.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, peranan JaPen dalam menyediakan platform untuk semua masyarakat sentiasa bersatu padu sangat dihargai dan harus diberikan penghargaan.

Katanya, banyak program yang dianjurkan pihak JaPen Sabah telah memberikan kesan positif terutamanya dalam mendidik masyarakat cintakan negara dan hidup bermuafakat.

“Saya melihat JaPen Sabah sangat aktif berkolaboratif dengan jabatan-jabatan kerajaan lain menjalankan program melibatkan semua komuniti termasuklah di kawasan pedalaman.

“Kita harus menghargai usaha pihak JaPen Sabah lakukan kerana mereka adalah jabatan yang selalu turun padang memberikan penjelasan mengenai agenda dan bantuan yang disediakan oleh kerajaan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika ditemui dalam program JIWA Komuniti MADANI Merdeka di Kampung Batu Payung, pada Sabtu di sini.

Menurutnya, JaPen Sabah juga turut giat membawa mesej toleransi kepada semua kaum dan agama di seluruh negeri.

“Saya percaya dengan aktiviti-aktiviti yang melibatkan semua kaum dan agama ini dapat memberikan kesan positif terhadap perpaduan di negeri Sabah.

“Kita harus jadikan perbezaan kaum yang ada di negeri ini sebagai satu keistimewaan dan menjadi model kepada simbol perpaduan serta keamanan di seluruh dunia,” katanya.

Nizam berkata, masyarakat di daerah dinasihatkan supaya tidak cepat terpengaruh dengan berita palsu dan fitnah yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Pastikan berita yang kita dengar dan terima di media sosial itu adalah sahih terutamanya melibatkan perpaduan kaum.

“Sekiranya menerima sesuatu berita pastikan membuat rujukan terlebih dahulu kepada pihak JaPen atau pihak berkuasa dan jangan terus disebarkan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JaPen Sabah, Jainisah Mohd Noor berkata, sempena Program JIWA Komuniti MADANI Merdeka ini juga dilaksanakan Kembara Merdeka Jalur Gemilang ke seluruh negeri Sabah.

“Kembara selama 20 hari ini bermula pada 8 Ogos lepas di Penampang dengan jarak kira-kira 2,400 kilometer menelusuri seluruh negeri Sabah.

“Kembara ini membawa misi mengajak seluruh rakyat Sabah supaya bersama-sama mengibarkan bendera Jalur Gemilang dan Sabah sempena sambutan berganda tahun ini,” katanya.

Katanya, sambutan masyarakat terhadap kembara ini sangat menggalakkan dan ramai yang telah mengibarkan bendera Jalur Gemilang dan Sabah di kediaman masing-masing.

“Saya mengharapkan ia berkekalan sehingga Hari Malaysia yang disambut pada 16 September nanti dan semangat patriotisme serta kenegaraan sentiasa ada dalam hati setiap diri rakyat di negeri ini.

“Kita juga mengharapkan kesepaduan nasional dalam kalangan rakyat berbilang kaum ini berkekalan bagi memastikan negeri dan negara kita aman makmur,” katanya.

Turut hadir, Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui; Pegawai Penerangan Tawau, Azuary Abdul Azis dan Pengerusi Komuniti Madani Kampung Batu Payung, Basir Yahya.

–Hamzah Sanudin

About the author

JABT

Add Comment

Click here to post a comment